CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16058|Reply: 0

[Sarawak] Kerajaan Sarawak terus beri peruntukan khas bagi Program Sumbangsih Raya

[Copy link]
Post time 20-3-2024 08:59 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari bersama Juma’ani (duduk, dua kanan), Fatimah (duduk, dua kiri), Dr Sim (duduk, kiri) serta ketua agensi dan jabatan penguatkuasaan menunjukkan kontena Sumbangsih Raya di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memberi peruntukan khas bagi Program Sumbangsih Raya kepada anggota penguat kuasa dan agensi beruniform yang bertugas di negeri ini semasa Hari Raya Aidilfitri sebagai penghargaan kepada mereka.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu adalah melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti di bawah Program Sumbangsih Raya.

“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, saya mengucapkan terima kasih kepada anggota penguat kuasa dan agensi beruniform, di mana ada antara mereka pada Hari Raya tidak dapat bersama keluarga disebabkan tugas masing-masing.

“Dalam suasana Hari Raya sudah tentu kita mahu mereka menjalankan tugas dengan gembira meskipun berada di perantauan iaitu jauh di laut, di darat dan sebagainya. Maka itu kita di Sarawak, kita mengadakan majlis seperti ini (Sumbangsih Raya).

“Kerajaan negeri bersama Kementerian (Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti) kita memberikan peruntukan khas bagi menjayakan bantuan dan jika ada rezeki kita akan tambahkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 yang dihadiri isterinya, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Abang Johari dalam pada itu turut memberitahu cadangan bagi menambah jenis bantuan dalam Sumbangsih Raya, seperti mi segera kepada anggota penerima pada tahun depan.

Jelasnya cadangan itu dikemukakan isteri beliau, Juma’ani yang mahu jenis barangan sumbangan bukan sahaja kuih-muih tetapi makanan seperti mi segera, seperti mi kolok segera.

“Kita mahu menambah jenis bantuan sumbangan tersebut dan tadi isteri saya telah mencadangkan selain kuih-muih, kita masukkan makanan seperti mi segera.

“Sumbangsih ini diadakan setiap tahun dan dari tahun ke tahun, kita akan menambahkan agensi penguatkuasaan bertugas di Sarawak untuk menerimannya.

“Yang Berhormat Fatimah telah menyambut baik bermakna kita akan tambahkan peruntukan untuk agihan sumbangan kepada mereka yang bertugas,” tegasnya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang terus menjaga keamanan dan keselamatan rakyat di negeri ini bukan sahaja semasa perayaan tetapi pada hari lain.

Katanya anggota keselamatan dan agensi beruniform telah dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik termasuk semasa pandemik COVID-19 dan selepas wabak berkenaan.

“Semasa COVID-19 mereka turun padang demi kesihatan dan keselamatan rakyat dan selepas itu mereka bertugas semasa bencana seperti banjir dan sebagainya,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 02:35 PM GMT+8 , Processed in 0.149981 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list