CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20113|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak berada pada tangga teratas dalam carta statistik mangsa penipuan pekerjaan

[Copy link]
Post time 20-3-2024 09:33 PM | Show all posts |Read mode


Fenny semasa ditemui media selepas sesi kunjungan hormat. – Gambar PENERANGAN

KUCHING: Sarawak berada pada tangga teratas dalam carta statistik mangsa penipuan pekerjaan di Malaysia, menurut Pengarah Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Fenny Nuli.

Beliau berkata, angka ini sangat membimbangkan dan susulan itu, pihaknya di Kementerian Luar Negeri berusaha sebaik mungkin untuk mencari kaedah dalam membantu menangani masalah sindiket penipuan pekerjaan membabitkan rakyat Sarawak.

“Perkara sama turut disuarakan dalam perjumpaan saya semalam dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah sebagai usaha mengurangkan jenayah ini daripada terus berlaku dan (pihak kami) bersedia bekerjasama dengan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Dato Sri Fatimah Abdullah,” katanya.

Fenny berkata demikian kepada pemberita selesai mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jafaar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri, pagi tadi.

Beliau ketika kunjungan hormat tersebut memaklumkan Tun Wan Junaidi serta isteri bahawa pejabatnya akan bekerjasama dengan beberapa agensi di Sarawak untuk mengadakan program kesedaran awam mengenai sindiket penipuan pekerjaan.

”Pejabat kami di Tingkat 14, Bangunan Sultan Iskandar sentiasa terbuka untuk menerima sebarang bantuan dan pertanyaan sekiranya ada tawaran-tawaran bekerja di luar negeri.

”Saya juga berkongsi pengalaman pernah terlibat sama membantu menyelamatkan 16 orang mangsa dari Sarawak yang telah kembali ke sini iaitu kumpulan terakhir tiba pada 6 November 2023 daripada 43 orang rakyat Malaysia.

”Mereka merupakan mangsa penipuan pekerjaan tahun lepas di Lima, Peru semasa saya menjadi duta besar di sana,” katanya.

Mengulas lanjut, Fenny berkata bekerja di luar negeri tidaklah semanis seperti dijangkakan.

Menurutnya, budaya kerja luar pesisir atau ‘offshore’ merupakan salah satu faktor yang menarik perhatian orang Sarawak untuk bekerja di luar negeri.

”(Mereka) inginkan gaji besar tapi tidak mengambil kira kos melibatkan tambang balik semula ke Malaysia, seperti kadar gaji yang diiklankan dalam (aplikasi) Telegram iaitu sekitar AS$1,000; ia tidak mencukupi,” ujar Fenny.

Fenny juga memaklumkan bahawa Sarawak mempunyai banyak potensi pekerjaan dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, namun anak Sarawak hendaklah memilih pekerjaan sesuai dengan kelayakan akademik.

Beliau turut mengingatkan anak Sarawak agar tidak terperdaya dengan tawaran kerja, sebaliknya menyiasat latar belakang sesebuah negara yang menyediakan tawaran tersebut.

“Sebagai contoh, rakyat Peru sendiri banyak yang bekerja di negara lain, kenapa pula anak Sarawak perlu terima tawaran tersebut?

”Logik sebegini perlu ditanam dalam minda anak muda kerana mangsa-mangsa ini berusia dalam lingkungan umur 19 hingga 20-an.

“Kita tak mahu isu ini melarat sehingga ada dalam kalangan rakyat yang akan dijadikan keldai dadah suatu masa kelak,” tegas beliau.  

Fenny turut memberitahu, Tun Wan Junaidi mengambil berat dan maklum tentang perkara ini susulan beliau pernah menyertai delegasi Malaysia menyelamatkan mangsa sindiket sama di Kemboja yang juga melibatkan rakyat Sarawak.

Kementerian Luar Negeri katanya, bercadang untuk mengadakan ceramah kesedaran bersama pelajar universiti seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada bulan Mei dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkaitan isu diplomasi antarabangsa, selain berkongsi pengalaman peribadi dalam misi menyelamat mangsa sindiket penipuan pekerjaan rakyat Malaysia khususnya dan Sarawak amnya.

Dalam interaksi ceramah yang akan diadakan nanti, Fenny berhasrat untuk memperkenalkan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri, Diplomasi dan Rundingan Antarabangsa serta banyak lagi.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:05 PM GMT+8 , Processed in 0.054845 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list