CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15428|Reply: 0

[Sabah] Dari KK terus ke Korea Selatan bersama penerbangan AirAsia

[Copy link]
Post time 21-3-2024 07:44 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 21-3-2024 11:46 AM



MEDIA: Petugas media Sabah dan Sarawak yang menyertai Program KTO X AirAsia Media Fam Trip 2024.

Program KTO X AirAsia Media Fam Trip 2024, jelajah lokasi pelancongan menarik

Pelancaran penerbangan laluan baharu Kota Kinabalu ke Seoul, Korea Selatan menjadi satu lagi pencapaian AirAsia dalam usaha memperluaskan lagi hab syarikat penerbangan itu khususnya di Sabah.

Usaha AirAsia memperkenalkan laluan penerbangan baharu ini pastinya menepati trend melancong yang semakin terkenal menjadikan Kota Kinabalu serta Korea Selatan sebagai pilihan utama destinasi pelancongan.

Seiring dengan pembukaan laluan baharu itu juga, AirAsia dengan kerjasama Organisasi Pelancongan Korea (KTO) menganjurkan Program 'KTO X AirAsia Media Fam Trip 2024' ke Korea Selatan pada 5 hingga 9 Mac lepas.

Seramai lapan petugas media masing-masing empat dari Sabah dan Sarawak diiringi wakil AirAsia Ahmad Hafiy Ahmad Fezul dan wakil KTO Hiza Idris, berpeluang menjelajah ke beberapa destinasi pelancongan menarik di Seoul dan Incheon, Korea Selatan.

Setiap hari, penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Incheon dijadualkan pada jam 6 petang dan mengambil masa kira-kira lima jam 15 minit untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.


BLUE HOUSE: Bangunan utama pejabat Presiden Korea iaitu Cheong Wa Dae atau Blue House yang dibuka kepada umum sejak Mei 2022.

Ketibaan rombongan media disambut mesra oleh pemandu pelancong Lisa Hong yang ditugaskan untuk mengiring dan mengendalikan jadual perjalanan sepanjang program KTO X AirAsia Media Fam Trip 2024.

Perjalanan selama hampir sejam dari Incheon ke Seoul membawa rombongan ke penginapan pertama di Hotel G3 iaitu sebuah hotel butik yang baharu di kawasan berdekatan dengan Myeongdong Street.

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Korea Selatan, nama Myeongdong Street pastinya tidak asing kerana ia antara lokasi tumpuan pelancong khususnya untuk berbelanja.

Aktiviti hari pertama melibatkan lawatan ke beberapa destinasi pelancongan terkenal di Seoul yang bukan sahaja menawarkan pelbagai daya tarikan malah, meninggalkan kenangan manis buat mereka yang berkunjung ke lokasi berkenaan.



UNIK: Ruang mesyuarat yang terdapat di dalam bangunan utama Cheong wa Dae.

Cheong Wa Dae yang juga dikenali sebagai Blue House Korea Selatan iaitu pejabat pentadbiran utama dan residen bagi Presiden Korea Selatan menjadi lokasi pertama kunjungan rombongan media.

Selepas Presiden Yoon Suk Yeol mengangkat sumpah sebagai Presiden Korea Selatan yang ke-20 pada 10 Mei 2022, Cheong Wa Dae mula dibuka kepada orang ramai dan pentadbiran pejabat presiden ditukar ke kawasan Yongsan.

Keunikan seni bina bangunan terutama bumbungnya yang berwarna kebiruan menjadi lambang serta tarikan kepada para pengunjung.

Rombongan media dibawa melawat ke tiga bangunan di dalam kawasan Cheong Wa Dae iaitu bangunan utama pejabat presiden, kediaman presiden dan juga bangunan untuk menyambut tetamu.

Menariknya, walaupun hampir dua tahun dibuka kepada umum, struktur bangunan terutama dekorasi laman dijaga rapi bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong itu sentiasa terpelihara dari sebarang kerosakan.

Lokasi ini dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula jam 9 pagi hingga 6 petang pada bulan Mac hingga November manakala, pada bulan Disember hingga Februari, ia dibuka bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.


RESTORAN: Wartawan Asia Times Paul Mu menunjukkan pintu masuk ke Restoran Mukho Sashimi yang menyajikan menu sup ikan istimewa.

Perjalanan rombongan media diteruskan ke Restoran Mukho Sashimi di Seoul bagi menjamu hidangan makan tengah hari yang menawarkan menu masakan sup ikan Korea yang sememangnya menyelerakan.

Sesuai dengan cuaca sejuk pada Mac di Korea, peluang menikmati masakan sup ikan yang panas dan lazat meninggalkan memori manis kepada rombongan media selepas berjalan hampir dua jam menjelajah kawasan Cheong Wa Dae.



FOKUS: Kakitangan di Hansik Space E:eum menunjukkan cara untuk membuat snek Gotgam-Danji.

Aktiviti lawatan diteruskan ke Hansik Space E:eum iaitu pusat kebudayaan makanan tradisi Korea yang menyediakan pameran dan promosi mengenai makanan serta minuman tradisi selain menawarkan aktiviti belajar membuat menu tradisi Korea.

Kali ini, semua petugas media berpeluang mempelajari cara menghasilkan juadah berupa manisan dikenali sebagai 'Gotgam-Danji' iaitu buah kesemak kering (dried persimmon) yang disumbat dengan kekacang bersalut madu.

Menurut sejarah latar belakang hidangan Gotgam-Danji dahulunya hanya disediakan sebagai hidangan buat keluarga diraja memandangkan pada waktu itu bahan-bahan untuk menghasilkan manisan ini agak mahal.

Namun sekarang, ia bukan sahaja menjadi snek kegemaran terkenal di Korea malah sering dijadikan sebagai hadiah cenderakenangan yang dibawa pelancong dari luar Korea Selatan.


MANISAN: Gotgam-Danji yang berjaya dihasilkan oleh salah seorang petugas media.

Selesai sahaja menghasilkan sekotak kecil yang mengandungi tiga biji Gotgam-Danji, rombongan meneruskan perjalanan lawatan ke sebuah istana lama yang terkenal dan menjadi lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Istana Gyeongbokgung antara istana lama yang sering menjadi pilihan kunjungan pelancong berikutan seni bina bangunannya yang unik serta memiliki keluasan kawasan yang besar.

Semasa ketibaan rombongan media sekitar jam 3.30 petang, hampir keseluruhan kawasan istana berkenaan dipenuhi dengan pelancong yang datang dari pelbagai negara dan lapisan umur.

Ini menunjukkan, destinasi pelancongan ke kawasan bersejarah juga menjadi pilihan para pelancong tidak kira orang tua atau muda, malah ada yang membawa anak-anak kecil berkunjung ke istana itu.



yang tersergam indah.

Apa yang menarik perhatian, kebanyakan pengunjung terutama wanita mengenakan pakaian tradisional Korea iaitu Hanbok untuk merakamkan kenangan bergambar dengan latar belakang bangunan Istana Gyeongbokgung.

Pengunjung yang mengenakan busana Hanbok diberi keistimewaan untuk masuk ke kawasan istana secara percuma.

Kawasan istana yang dibina pada zaman Dinasti Joseon sejak 1395 itu merangkumi beberapa struktur bangunan di dalamnya termasuk balai singgahsana, pintu gerbang, bilik bersemayam diraja, ruang belajar, tugu, dan dapur diraja.

Selesai menjelajah sambil diberi penerangan menarik oleh Lisa mengenai sejarah keluarga diraja Korea, rombongan media kemudiannya dibawa ke kawasan Bukchon Hanok Village untuk sesi minum petang secara santai.


UNIK: Kafe Wolyeongdang iaitu Hanok Tea House yang terletak di kawasan Bukchon Hanok Village.

Bukchon Hanok Village salah satu lokasi pelancongan yang menampilkan struktur seni bina bangunan lama Korea dengan beberapa lokasi menarik seperti kafe, galeri seni dan kedai pakaian tradisi Korea.

Rombongan media berpeluang menikmati suasana minum petang di Kafe Wolyeongdang iaitu Hanok Tea House yang menawarkan hidangan kopi dan teh yang sedap dan unik.

Penutup perjalanan hari pertama Program 'KTO X AirAsia Media Fam Trip 2024 di Seoul adalah dengan persinggahan ke 'Very Front Seoul Restaurant' yang menyediakan menu masakan Itali.

Rombongan media disajikan dengan dua jenis hidangan makan malam iaitu pasta aglio olio ikan pollack dan pasta krim ros dengan udang yang menyelerakan.

Biarpun ruang dalaman restoran itu hanya sederhana, tetapi suasana yang berkonsepkan hidangan estetik semakin menjadi pilihan kunjungan para pelancong di Korea.


MERIAH: Suasana pasar malam di Myeongndong Street sentiasa meriah dengan pengunjung.

Sebaik selesai menikmati makan malam, rombongan media kembali ke hotel sekitar jam 7 malam dan ada yang menyambung aktiviti dengan mengunjungi pasar malam di Myeongdong Street untuk membeli-belah.

Penat dan sejuk namun puas. Begitulah perkongsian petugas media selepas selesai mengikuti perjalanan hari pertama ke lokasi pelancongan menarik di Seoul.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 07:29 AM GMT+8 , Processed in 0.076812 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list