CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9744|Reply: 0

[Sabah] MPOGCF, UPM, SSB meterai MoA tangani konflik manusia-hidupan liar

[Copy link]
Post time 22-3-2024 12:14 PM | Show all posts |Read mode


METERAI: Hairulazim (dua kiri) ketika mengadakan pertukaran MoA bersama Mohd Daud (empat kiri) dan Dr. Anjas Asmara (empat kanan).

TAWAU: Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) hari ini telah mengadakan pertukaran dua memorandum perjanjian (MoA) dengan dua rakan strategik iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabah Softwoods Berhad (SSB).

Majlis pertukaran memorandum itu diadakan di Conference Room, Tree Plantation Central Office, Brumas, Sabah Softwoods Berhad, Tawau, Sabah.

MoA yang pertama adalah bagi projek ‘Guidelines for Biodiversity-friendly Plantation’ antara MPOGCF dan UPM. Pelaksanaan projek ini dijadualkan mengambil masa setahun dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM298,462.50 yang disalurkan MPOGCF.

Pertukaran MoA itu dilakukan antara Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM, Profesor Dr. Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin.

Projek yang diketuai Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dari UPM itu bertujuan menyediakan garis panduan kepada semua pemegang taruh dalam industri sawit untuk menangani isu yang melibatkan kelestarian biodiversiti di ladang sawit di negara ini.

Hairulazim berkata, penerbitan garis panduan berkenaan melibatkan beberapa aktiviti kajian lapangan untuk verifikasi dapatan kajian, seminar dan bengkel para penulis.

Katanya, ia juga supaya penulis dapat membincangkan perincian kandungan garis panduan dan aktiviti editorial ikhtisas untuk kumpulan penyunting.

“Justeru, adalah menjadi harapan MPOGCF agar garis panduan ini dapat membantu industri sawit Malaysia dalam menguruskan ladang kelapa sawit mampan yang mesra hidupan liar.

“Ia sekali gus berupaya menangani konflik manusia-hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit bagi mencapai matlamat kehidupan bersama secara harmoni tanpa menjejaskan hasil minyak sawit,” katanya.

MoA kedua pula adalah bagi projek kajian ‘Bornean Elephant Grass Planting’ antara MPOGCF, UPM dan SSB.

MPOGCF telah meluluskan peruntukan berjumlah RM451,818 dan tempoh kajian adalah selama dua tahun, bermula tahun ini.

Pertukaran MoA itu dilakukan antara Hairulazim, Ketua Pegawai Eksekutif, SSB, Datuk Mohd Daud Tampokong dan Profesor Dr. Anjas Asmara.

Hairulazim berkata, objektif kajian ini yang akan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hasliza Abu Hassim dari UPM adalah untuk menentukan ciri kaedah penanaman dan komposisi pemakanan rumput Napier.

“Selain itu, ia juga untuk menilai dan mengemaskini keberkesanan penggunaan koridor yang ditanam dengan rumput Napier dalam mempengaruhi pergerakan kumpulan gajah.

“Koridor ini telah diwujudkan oleh SSB dengan kerjasama WWF-Malaysia bagi menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang di bahagian tenggara Selatan dan Hutan Simpan Ulu Segama yang terletak di bahagian utara,” katanya.

Katanya, kewujudan koridor ini membolehkan pergerakan spesies hidupan liar yang terancam terutamanya gajah pigmi Borneo dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain.

Menurutnya, projek ini turut memberi penekanan membantu membina kapasiti pakar tempatan dengan memberi latihan kepada pelapis saintis muda dalam bidang pemuliharaan ekologi dan hidupan liar di Sabah melalui pembiayaan program ijazah Sarjana Sains (MSc) di universiti tempatan.

“Besar harapan kami agar projek kajian ini dapat membantu terutamanya Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk mendapatkan maklumat kajian terkini mengenai pergerakan dan populasi spesies gajah.

“Ia juga dapat membantu mewujudkan pelan tindakan seterusnya bagi mendapatkan hala tuju dan panduan strategi, keutamaan dan tindakan pemuliharaan spesies terancam ini di peringkat negeri,” katanya.

Terdahulu, projek kajian itu yang dijalankan oleh empat ahli akademik dari UPM dengan diketuai Prof Madya Dr Hasliza Abu Hassim serta dianggotai Prof Madya Dr Hafandi Ahmad, Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dan Dr Mohd Huzairi Mohd Zainudin.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 10:27 PM GMT+8 , Processed in 0.126526 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list