Edited by maklukpenggoda at 27-3-2024 02:33 AM
MELAKA – Polis menahan seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata ugutan bahawa Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh akan dibunuh kerana kelantangannya dalam isu KK Mart berkaitan stoking kalimah Allah baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 68 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Kandang petang tadi selepas menerima laporan polis daripada pengadu.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang 20 Mac lalu apabila pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar suspek iaitu pemilik bengkel kereta di Bukit Duyong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Dr Akmal berhubung isu KK Mart.
“Suspek telah memberitahu ‘Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr. Akmal Salleh) banyak lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak kasi mati’.
“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki itu sebelum membuat laporan polis pagi tadi kerana tidak berpuas hati dengan kata-kata ugutannya dan bimbang keselamatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu,” katanya.
Mengulas lanjut Christopher berkata, hasil siasatan mendapati, tempat kejadian merupakan sebuah pondok yang didirikan untuk menjalankan kerja-kerja membaiki kereta secara bersendirian bersebelahan rumah suspek.
“Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan tersebut.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Akmal Saleh mengenai isu KK Mart,” katanya.
Tambahnya, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ugutan. https://malaysiagazette.com/2024/03/26/suspek-ugut-dr-akmal-ditembak-mati-ditahan-polis/
|