KUALA LUMPUR - Pas tidak bersama dalam gerakan memboikot kedai serbaneka KK Super Mart susulan isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH baru-baru ini.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, walaupun pendirian mereka berbeza, namun parti Islam itu tidak menyokong perbuatan mempersendakan kalimah ALLAH.
Menurutnya, isu boikot KK Super Mart itu tidak boleh disamakan dengan gerakan menolak entiti perniagaan milik Israel.
"Isu boikot produk Israel kerana ia sudah berkaitan langsung (perang Israel-Hamas) tetapi dalam isu KK Super Mart tiada kaitan langsung.
"Oleh itu Pas tidak ambil pendekatan untuk boikot. Kalau melihat ucapan atau ulasan daripada pemimpin Pas, tiada seorang pun pemimpin kami yang minta memboikot KK Mart.
"Cuma pimpinan Pas mahu tindakan tegas dikenakan kepada orang yang bertanggungjawab. Kalau sudah ada tindakan, saya yakin isu ini akan reda," katanya.
|