CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 28842|Reply: 0

[Sarawak] Wong tidak mengharapkan sebarang jawatan sebagai balasan bubar PSB

[Copy link]
Post time 14-4-2024 08:20 PM | Show all posts |Read mode


Wong (kanan) dan Dr Rayong ketika ditemu bual wakil media pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2024 anjuran DUN Sarawak hari ini.

KUCHING:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam Kabinet Negeri sebagai balasan membubarkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).

Bekas presiden PSB itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah menetapkan sebarang syarat.

"Tidak, saya tidak meminta apa-apa. Tiada sebarang syarat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2024 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Wong bagaimanapun berkata, beliau sedia untuk menyumbang bagi membantu kerajaan negeri berbekalkan pengalamannya yang bertahun-tahun dalam Kabinet Sarawak sebelum ini.

Beliau pernah menyandang beberapa porfolio kementerian dalam Kerajaan Sarawak termasuk Menteri Kewangan II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang.

Pada Julai 2019 beliau meletak jawatan kementerian selepas hubungan PSB dan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 'terjejas'.

Wong semasa Majlis Makan Malam Perpaduan PDP baru-baru ini mengumumkan bahawa ahli PSB telah diterima secara berkumpulan ke dalam PDP sejak surat kelulusan pembubaran parti itu diterima daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 19 Mac 2024.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai naib presiden kanan PDP manakala bekas pemimpin PSB iaitu ADUN Ba’KelalanBaru Bian dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa dilantik sebagai naib presiden parti.

Wong juga menyifatkan pembubaran PSB sebagai bersejarah kerana tiada parti politik lain di negara ini pernah membuat keputusan untuk membubarkan penubuhannya.

“Kami telah mencipta sejarah. RoS di Putrajaya memberitahu kami bahawa PSB adalah parti pertama dalam sejarah Malaysia yang telah membubarkan dirinya sendiri.

“Semua parti lain, satu cara atau yang lain ialah dibatalkan pendaftarannya. Tetapi bagi kami, tidak. Kami membubarkan diri untuk membuka jalan untuk menyertai PDP supaya kami menjadi sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Sementara itu, Dr Rayong berkata beliau gembira kerana bersama Wong dan Baru, diterima menyertai PDP, pada masa sama menjadi ahli parti komponen GPS.

Bekas timbalan presiden PSB itu juga menzahirkan keyakinannya dengan berada dalam GPS akan membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang telah menerajui pentadbiran negeri dengan cemerlang. Hasil daripada dasar beliau dalam menguruskan Sarawak dan rakyat, kita telah maju ke hadapan dengan harmoni.

“Inilah sebab kami mahu bekerjasama dengan beliau dalam merancang sesuatu supaya Sarawak terus kukuh dan stabil dari segi politik dan ekonomi,” kata Dr Rayong.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-6-2024 09:43 PM GMT+8 , Processed in 0.061698 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list