SYDNEY: Serangan ganas bersenjatakan pisau ketika upacara keagamaan di sebuah gereja diisytihar sebagai 'tindakan pengganas' yang didorong oleh ekstremisme agama, menurut polis Australia pada Selasa.
Sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam serangan itu, termasuk paderi Mar Mari Emmanuel dari Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd, ketika upacara yang disiarkan secara langsung di pinggir bandar Wakeley, barat Sydney pada Isnin.
Ketika kejadian, penyerang remaja berusia 16 tahun meluru masuk ke gereja sebelum menikam paderi itu yang sedang menyampaikan khutbah.
Pemimpin gereja berkenaan dilihat rebah ke lantai dan kedengaran suara jeritan pengikutnya yang kemudiannya menerpa ke arahnya untuk membantu sebelum siaran langsung itu terputus.
Kejadian terbabit berlaku selepas tiga serangan ganas bersenjatakan pisau yang meragut enam nyawa pengunjung di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction.
Polis Australia menembak mati penyerang berkenaan.
Insiden di gereja itu turut mencetuskan pertempuran antara orang ramai dan polis di luar kawasan rumah ibadat berkenaan.
"Polis memberkas seorang remaja lelaki di tempat kejadian dan menahannya di dalam gereja demi keselamatannya sendiri selepas orang ramai berkumpul di luar dan menggesa penyerang itu dibawa keluar.
"Kami percaya ada unsur dari segi ekstremisme bermotifkan agama," kata Pesuruhjaya Polis New South Wales, Karen Webb pada sidang media.
Sementara itu, Perdana Menteri, New South Wales, Chris Minns mengeluarkan kenyataan bersama dengan pemimpin Kristian dan Islam menyeru supaya semua pihak bertenang.
"Kami menyeru semua orang untuk bertindak dengan baik dan menghormati antara satu sama lain.
"Sekarang adalah masa untuk menunjukkan bahawa kami kuat dan bersatu," kata kenyataan itu. - REUTERS