MIRI: Dua wanita nyaris maut setelah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Jalan Miri-Pujut di sini malam tadi.
Kedua-dua mangsa yang cedera, dengan seorang daripada mereka patah tangan kiri, telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bombma dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 9.59 malam.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lutong telah bergerak ke lokasi yang terletak pada jarak 8 kilometer dari balai tersebut.
"Setiba di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbalik di seberang parit akibat daripada kemalangan.
"Kemalangan itu melibatkan dua orang wanita dengan mangsa pertama mengalami luka kecil, manakala mangsa kedua patah tangan sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang turut bergegas ke lokasi sebelum dihantar ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan keadaan selamat, PKO bertolak balik ke balai.