Kuala Lumpur: Tidak bermaruah sampai terdesak mencari mangsa menggunakan platform penghantaran terkemuka. Itu trend terbaharu individu kemaruk seks yang menawarkan khidmat mereka kepada penghantar platform terbabit.
Sama ada ia sengaja dilakukan sekadar mencuba nasib mahupun dengan niat sebagai hiburan mahu 'scam' pesanan penghantaran barang, tindakan individu sebegini sangat biadab dan tidak bermoral berikutan platform itu digunakan untuk mereka yang mencari rezeki halal. Bagi penghantar mahu dikenali sebagai Ayus, 34, dia agak kecewa kerana pernah juga menerima tempahan pelik dari pelanggan gila seks seumpama itu.
Dia yang mengambil tempahan menggunakan kereta secara sambilan di sekitar ibu negara sejak enam bulan lalu berkata, isu ini menimbulkan persoalan sama ada aplikasi berkenaan selamat mahupun tidak.
"Memang sejak sebulan lalu, saya terima tempahan pelik-pelik. Tetapi selalunya kalau keluar pesanan pelik, saya akan slide (terima pesanan) dan tekan button report order(butang aduan pesanan).
Pemerhatian Harian Metro dalam satu di Facebook mendapati, beberapa penghantar berkongsi tangkap layar pesanan tidak senonoh diterima mereka sehingga isu itu hangat dibincangkan sesama mereka.
Menerusi beberapa mesej pesanan, individu berkenaan turut memberikan spesifik kriteria pelanggan sasaran seperti penghantar kacak, wanita saja atau tidak mahu berbadan gempal dan berusia.
Mengulas lanjut, Ayus berkata, isu berkenaan menimbulkan masalah kepada penghantar berikutan ada kalanya pesanan diterima tidak menyediakan maklumat terperinci tentang barangan atau pesanan yang perlu dihantar.
"Rasanya apabila ada isu macam ini, kami susah cari makan kerana dua-dua (penghantar wanita mahupun lelaki) pun tidak selamat.
"Saya harap penyedia platform lebih peka dari segi menapis pesanan dan tetapkan syarat supaya pelanggan lebih memperincikan barangan apa perlu dihantar," katanya.
Sementara itu, seorang penghantar wanita Nisa pula berkongsi pengalaman, dia nyaris menjadi mangsa manusia tidak bertanggungjawab, namun nasibnya baik apabila suami menemaninya.
"Pernah dapat macam ini (pesanan tidak senonoh) sudahlah tempatnya tersorok macam bangunan terbiar di Shah Alam.
"Masa itu suami yang bawa (pandu kereta), apabila sampai dia (pembuat pesanan) tanya kenapa bukan perempuan bawa dengan nada mengeluh.
"Pemandu (penghantar barangan) terutama wanita, hati-hatilah. Dapat tempat pelik, tak payah slide (terima pesanan) dan kalau slide cancel (batalkan) lagi bagus," katanya.
|