CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1027|Reply: 0

[Sabah] Amalan lantik Pegawai LPP di PPN, PPK perlu dihentikan, jimat perbelanjaan kerajaan

[Copy link]
Post time 24-4-2024 07:02 PM | Show all posts |Read mode


SIDANG MEDIA: Mohd. Nazri (tengah) semasa sesi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah di bilik mesyuarat PPNS di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menghentikan amalan meletakkan pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, tiada peruntukan yang jelas untuk LPP melaksanakan amalan itu mengikut Akta 110, selain tiada kebaikan yang dapat dilihat dengan menempatkan pegawai LPP di Pertubuhan Peladang (PP).

Katanya, PP dimiliki oleh pemegang saham yang terdiri daripada orang perseorangan, petani dan peladang yang menjadi ahli peladang di PPK melalui ahli di unit peladang, seperti sesebuah koperasi.

Menurutnya, saham PPN dimiliki oleh PPK manakala saham Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pula dimiliki oleh 14 PPN dan tidak melibatkan pihak kerajaan sama sekali.

Beliau berkata, PP ditubuh menggunakan Akta 109 dan diselia oleh LPP dengan menggunakan Akta 110, sementara LPP pula adalah milik kerajaan iaitu salah sebuah agensi dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Kerajaan hanya perlu menyalurkan peruntukan kepada LPP untuk tujuan operasi dan membayar gaji pegawainya, manakala LPP tidak perlu melantik ramai pegawai untuk ditempatkan di PP yang dimiliki oleh pihak lain iaitu pemegang saham sedangkan PP bukan agensi milik kerajaan.

"Lebih baik duit kerajaan yang digunakan untuk membayar pegawai LPP yang ditempatkan di PP  itu digunakan oleh kerajaan untuk membayar hutang negara,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, di sini.

Beliau mengulas mengenai kelemahan amalan menempatkan pegawai LPP dalam PP yang dilihat lebih banyak menghalang perkembangan pertubuhan itu.

Mohd Nazri berkata,  kebanyakkan urusan PPN dan PPK tergendala atau tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan peraturan yang membataskan pegawai LPP untuk meluluskan atau melaksanakan perkara yang menjadi kepentingan PPN atau PPK.

Katanya, kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan Malaysia perlu memberi perhatian dan menimbangkan perkara itu demi kebaikan sistem tadbir urus kerajaan dan kemajuan Pertubuhan Peladang secara keseluruhan.

"Sudah sampai masanya kerajaan melihat perkara ini secara serius. Perdana Menteri sendiri pasti tahu perjalanan Pertubuhan Peladang kerana beliau pernah menjadi Menteri Pertanian.

"Biarlah Pertubuhan Peladang, termasuk di peringkat PPN dan PPK berjalan sendiri, Pengarah Urusan dan Pengurus Besar dilantik sendiri oleh pertubuhan masing-masing serta untung rugi ditanggung oleh pemegang saham.

"Tindakan meletakkan Pegawai LPP di PPN dan PPK menyebabkan ramai pihak yang keliru, malah sejak PP diwujudkan pada 1973, sehingga kini kejayaan Pertubuhan Peladang tidak dapat dilihat," katanya.

Katanya, sekiranya dibiarkan berdikari, beliau yakin Pertubuhan Peladang akan lebih menyerlah dan melakar keuntungan berikutan ada kebebasan untuk merancang program yang dilaksanakan untuk manfaat pemegang saham.

Bercakap lanjut, Mohd Nazri berkata, penempatan Pegawai LPP di Pertubuhan Peladang menimbulkan masalah berkaitan kaedah melaksanakan keputusan kerana kedudukan mereka masih sebagai pegawai di lembaga berkenaan.

"Setiap urusan yang diputuskan oleh lembaga pengarah (Pertubuhan Peladang), pegawai itu tetap tidak dapat melaksanakannya kerana majikan pegawai itu ialah LPP, jadi di situ ada kekangannya kerana dia melapor kepada LPP, dan bukan kepada lembaga pengarah PP.

"Jika amalan ini dihentikan kita melihat ia boleh menjimatkan banyak wang kerajaan yang diperuntukkan kepada LPP, duit itu juga boleh digunakan untuk membayar hutang kerajaan," katanya.

Mohd Nazri berkata, Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 3 Julai 2020 pernah mengeluarkan Memo yang antara lain menjelaskan bahawa pelantikan Pengurus Besar PP termasuk NAFAS perlu dilaksanakan oleh pertubuhan itu sendiri secara perundangan.

"Selain bertentangan dengan akta, amalan meletak pegawai LPP itu juga tidak sesuai kerana berlaku konflik kepentingan," katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 05:49 AM GMT+8 , Processed in 0.324489 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list