Edited by prettygood at 20-5-2024 07:40 PM
SHAH ALAM - Umat Islam wajib melakukan apa jua tindakan yang boleh melemahkan kemampuan pihak menceroboh atau menyerang negara Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia termasuk memulau produk atau barang keluaran negara yang terbukti memberi bantuan serta sokongan sama ada ketenteraan atau kewangan kepada Israel.
Menurutnya, tindakan dilakukan itu sepatutnya dilihat daripada perspektif syariat dan maslahah umat Islam bukan sekadar dorongan nafsu serta gejolak emosi semata-mata. “Ia juga boleh dikaitkan tindakan memboikot mana-mana artis yang turut mengiklankan barang-barang keluaran negara berkenaan atau sekutunya. “Sekiranya pemulauan atau blockout itu membawa keburukan lebih besar daripada kebaikan atau manfaat, maka ia tidak harus dilakukan dan jika sebaliknya, tindakan tersebut perlu dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun, menurut Wan Salim, tindakan melampau semasa kempen tersebut juga akan merugikan negara dan rakyat terutama kepada ekonomi.
Tambahnya, jika langkah tersebut diambil secara melampau, ia mungkin akan mengurangkan minat pelabur untuk menanam modal di negara ini. “Kempen memboikot itu perlu dilakukan secara bersederhana dan mengambil kira kesan terhadap Malaysia, kerajaan dan rakyat,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem terhadap mana-mana individu termasuk memfitnah, mencaci, maki hamun, menggugat dan sebagainya. Beliau berkata, orang ramai diminta sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat. “Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam adalah perlu dielakkan sama sekali,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kempen #Blockout2024 artis dan pempengaruh di Amerika Syarikat (AS) yang tidak pernah bercakap mengenai Palestin atau menjadi duta produk Israel kini mula mendapat perhatian di Malaysia. Orang ramai berkongsi di media sosial senarai selebriti Malaysia untuk diboikot dengan tanda pagar #Blockout2024 termasuk nama-nama pelakon popular.
Sumber: Sinar harian (Qurratul Aina Quddus, 20 Mei 2024)
|