Polis menahan suspek (tengah) untuk tindakan lanjut.
SIBU: Polis telah menahan seorang warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes rompakan seorang pemandu e-hailing di sini, pada Khamis lepas.
Ketua Polis Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek, 18, ditangkap di Jalan Ling Kai Cheng pada Ahad, kira-kira jam 1.30 petang.
"Suspek telah direman selama 14 hari sehingga 17 Jun, sementara menunggu siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian itu berlaku pada Khamis lepas di Jalan Teku Pasai Siong, sekitar jam 4.30 pagi, ketika wanita, 55, membawa lelaki itu ke destinasi.
Zulkipli berkata suspek tiba-tiba mengacukan pisau ke leher mangsa namun mangsa berjaya melepaskan diri serta meninggalkan kereta dan barangan berharga lain.
Beliau berkata suspek bertindak memandu kereta mangsa tetapi mengalami kemalangan tidak lama kemudian sebelum meninggalkan kereta tersebut di tepi jalan.
Beliau berkata suspek dibawa ke balai polis dan hasil ujian air kencing menunjukkan negatif dadah.
Beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak dengan senjata dan menyebabkan kecederaan.
|