View: 9849|Reply: 0
|
[Selangor]
‘Video call’ anak kecil tatap wajah jenazah ayah kali terakhir
[Copy link]
|
|
Panggilan video antara seorang wanita bersama anaknya di Singapura bagi membolehkan kanak-kanak itu menatap wajah bapanya untuk kali terakhir.
PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menatap wajah bapanya untuk kali terakhir melalui panggilan video dibuat oleh ibunya selepas jenazah lelaki tersebut selesai dimandikan.
Lelaki itu merupakan warga Singapura yang meninggal dunia di Malaysia, manakala isterinya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menguruskan jenazahnya.
Video tersebut dimuat naik oleh seorang lelaki pada TikTok dikenali sebagai @mrwanchaiofficial77 yang bertanggunjawab menguruskan jenazah suami wanita itu bersama-sama pasukannya.
“Lahir di Singapura, meninggal dunia di Malaysia. Setia isteri hingga nafas suami terhenti. Arwah dikatakan mengalami masalah keluarga sehingga membuatnya terputus hubungan.
“Mujur arwah mempunyai seorang isteri yang bertanggungjawab. Sanggup datang dari jauh seorang diri semata-mata untuk menguruskan jenazah suaminya.
“Bahagian paling menyedihkan bila si isteri membuat panggilan video dengan anak perempuan tunggal mereka. Bayangkan anak seusia sembilan tahun berpeluang menatap wajah ayahnya buat kali terakhir hanya dari jauh,” katanya pada hantaran tersebut.
Pengguna TikTok itu memberitahu, dia juga hampir menitik air mata apabila mengenangkan nasib si anak yang kehilangan bapa.
“Di sebalik kematian arwah ini, ada kisah duka yang tidak boleh saya kongsikan kepada pembaca. Cukuplah rahsiakan kisah-kisah tersebut seperti mana yang diamanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan menasihati isteri lelaki tersebut supaya jenazah suaminya dikebumikan di tempat dia meninggal dunia.
“Mengikut perancangan awal, jenazah arwah sepatutnya mahu dibawa pulang ke Singapura. Bagi saya tiada keperluan membawa jenazah pulang jika tiada ahli keluarga yang mahu menunggu arwah di sana.
“Lagipun membawa pulang jenazah ke Singapura hanya akan membebankan isteri arwah. Si isteri memaklumkan kos pengurusan dan pengebumian jenazah di negara seberang tambak sangat tinggi iaitu sekitar SGD 5,000. Siapa nak bayar kos sebegitu mahal?,” katanya.
Dalam pada itu, @mrwanchaiofficial77 berkata, dia bersyukur Allah mempermudah dan membantu urusan hari-hari terakhir lelaki tersebut.
“Moralnya tidak semua daripada kita diberikan kehidupan yang lebih baik. Lega bila pengurusan arwah berjalan lancar dari mula jenazah dituntut hingga selesai disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... ayah-kali-terakhir/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|