Abang Johari bersama penganjur Forum Perniagaan ASEAN Australia 2024 Francis Wong sebaik tiba di Hotel Sofitel Sydney Darling Harbour. - Gambar UKAS
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di bandar raya Sydney, Australia hari ini untuk menghadiri Forum Perniagaan ASEAN Australia 2024.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pesawat khas yang membawa Abang Johari dan delegasi Kerajaan Sarawak selamat mendarat di Lapangan Terbang Sydney kira-kira jam 2.33 petang waktu tempatan.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.
Abang Johari dijadual menyampaikan ucaptama berjudul 'The Powerhouse of Green Economy in ASEAN' pada Forum Perniagaan ASEAN Australia 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney esok.
Selepas itu, beliau bersama beberapa panel jemputan lain akan berkongsi pandangan dalam perbincangan yang memfokuskan topik mengenai ‘Peralihan Tenaga dan Ekonomi Hijau’.
Antara panel jemputan lain ialah President Asia Pacific, Fortescue Energy Eva Hanly, Pengarah, NSW Circular Economy Innovation Network Profesor Veena Sahajwalla, Pengerusi Viva Energy, Geelong, Australia Robert Hill AC dan Pengerusi Enserv Holding Co Ltd, Thailand Jimmy Tanachat Pochana.
Abang Johari kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majis Perniagaan Malaysia Australia (AMBC) NSW dan Dewan Perniagaan Australia Sarawak (SABC) di Harbourfront Seafood Restaurant, Sydney Harbour.
Beliau dijadual kembali ke Kuching pada 30 Ogos.
Forum Perniagaan ASEAN Australia 2024 yang akan berlangsung dari 29 hingga 30 Ogos bakal mengumpul penceramah-penceramah terkemuka untuk berkongsi kepakaran mereka dalam pelbagai disiplin.
Antara lainnya pertanian, keselamatan makanan, tenaga hijau dan diperbaharui dengan memberi tumpuan khusus terhadap penyahkarbonan, transformasi digital, ekonomi pelawat, perubatan dan kesihatan.
|