Sagah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bapa mangsa. Turut kelihatan ADUN Opar, Billy Sujang (tiga kiri).
LUNDU: Seminggu selepas tragedi perahu karam di Kampung Selampit, keluarga mangsa yang terkorban tidak putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.
Hari ini, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn hadir menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan selamat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong.
Bersimpati dengan tragedi itu, Sagah berkata tiada kata dapat diluahkan untuk menggambarkan kesedihan dengan tiga pelajar yang terkorban dalam insiden itu. Bagaimanapun, beliau berharap ibu bapa dan keluarga mangsa bersabar dan menerima kehilangan tersebut dengan hati tabah.
"Hari ini kita hadir sampaikan sumbangan daripada Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA), Kelab Sukan dan Rekreasi MEITD dan satu lagi Skim Takaful.
"Tidak ada kata yang dapat menggambarkan kesedihan kita dan satu-satunya nasihat yang dapat diberikan adalah untuk mereka mengambil langkah berhati-hati," ujarnya.
Sagah (dua kiri) menyantuni keluarga mangsa perahu karam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di sekolah tersebut, hari ini.
Sementara itu, ditanya adakah pelajar dari Kampung Selampit akan diwajibkan memasuki asrama, Pengetua SMK Senibong Rosimi Eron berkata, mereka digalakkan untuk memasuki asrama tetapi tidak diwajibkan.
Katanya, pihak sekolah memberi keutamaan kepada pelajar Kampumg Selampit untuk memasuki asrama mengambil kira keperluan menaiki perahu untuk menyeberangi sungai untuk ke sekolah.
Tetapi katanya, ramai yang memilih untuk menjadi pelajar harian kerana ingin berada dekat dengan keluarga masing-masing.
"Kemudahan asrama kita mencukupi untuk mereka bukan sahaja dari Selampit tetapi juga dari kampung lain dan kita akan terima sekiranya lengkap permohonan," katanya.
Insiden perahu karam pada 20 Ogos lepas mengorbankan tiga pelajar sekolah itu, manakala lain-lain pelajar selamat.
|