|
MADRID – Penduduk Seville mengadakan protes bagi menuntut pihak berkuasa menangani virus Nil Barat yang menyebabkan lima kematian di wilayah selatan Sepanyol tersebut pada musim panas kali ini.
Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, virus itu merebak pada manusia akibat gigitan nyamuk.
Semua kematian dan 61 kes yang direkodkan dekat bandar Seville berlaku di kawasan Lembah Guadalquivir.
Keluarga seorang wanita berusia 86 tahun yang meninggal dunia akibat virus itu, Granada Romero Ruiz menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan sebelum kematian pesakit dengan menyatakan kemarahan dan rasa putus asa.
“Tragedi ini boleh dielakkan jika anda yang berada di pejabat selesa, bertindak dengan bertanggungjawab dan rasa kemanusiaan yang kami harapkan daripada kedudukan anda,” kata mereka.
Nyamuk menyebarkan virus itu kepada manusia dan mamalia lain daripada burung yang dijangkiti.
Dengan kawasan paya dan sawah padi yang luas, Lembah Guadalquivir mempunyai ekosistem menggalakkan bagi pembiakan nyamuk.
Seorang pakar penyakit tempatan, Jordi Figuerola berkata, musim sejuk yang sederhana dan musim bunga yang basah telah membawa peredaran virus lebih cepat pada tahun ini.
Dalam kebanyakan kes, virus Nil Barat menyebabkan simptom sama ada sangat kecil atau tiada gejala, dengan warga emas adalah golongan paling berisiko. – AGENSI
SUMBER: Kosmo |
|