S.KARUNANITHY
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima orang penjawat awam yang berkhidmat di sebuah pusat kesihatan di negeri ini selepas disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bernilai kira-kira RM146,000.
Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada seorang penolong pegawai perubatan dan empat orang jururawat ditahan kira-kira jam 9.40 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada Selasa.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja lebih masa dari tahun 2020 hingga 2021 sedangkan perkara terbabit tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah ,Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh pada 12 September depan (Khamis) di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu,” katanya.
|