CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13705|Reply: 0

[Sabah] Empat tahun yang cemerlang

[Copy link]
Post time 28-9-2024 11:52 AM | Show all posts |Read mode


SEMANGAT MALAYSIA: Hajiji menandantangani Buku Khas Hari Malaysia, sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024, 16 September lepas.

BATON kuasa pemerintahan Sabah beralih ke tangan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada 29 September 2020.

Masa bergerak laju. Seperti baru semalam istiadat angkat sumpah berlaku, rupanya sudah empat tahun berlalu.

Sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16, Hajiji menggalas tugas pada waktu dan suasana paling mencabar -- pasca pandemik COVID-19.

Malah, beliau sendiri disahkan positif COVID-19 dan terpaksa mengurus pentadbiran negeri dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu, tempat beliau menjalani rawatan dan kuarantin.

Hajiji dirawat di hospital itu mulai 9 Oktober, tidak sampai dua minggu selepas mengangkat sumpah -- pada ketika urusan pentadbiran negeri masih belum tersusun rapi.

Di sebalik halangan dihadapi, beliau tekad mengurus negeri. Baginya, mandat rakyat adalah amanah sebuah perjuangan.

Rakyat mengangkatnya sebagai pemimpin negeri, justeru khidmat sebaiknya harus kembali kepada rakyat bagi memenuhi harapan mereka.

Bertatih dari cabaran itu, Hajiji tidak membuang waktu. Sebagai nahkoda negeri, beliau segera mengemudi pentadbiran, memperkenalkan hala tuju baharu supaya Sabah bangkit dari ketidaktentuan waktu itu ketika ekonomi menjadi gawat di seluruh dunia.

Tanpa menoleh ke belakang, Hajiji terus melangkah laju, membawa obor Sabah Maju Jaya (SMJ) -- iaitu inisiatif yang diperkenalkannya bagi mengubah dimensi ekonomi dan landskap pembangunan negeri.

Hari ini, keberhasilannya mulai kelihatan. Sepanjang empat tahun pertama, Sabah sudah melakar banyak kejayaan yang nyata dari segi data. Dan jelas dari sudut fakta.

Tidak syak lagi, Sabah  berada di landasan tepat untuk terus maju dan membangun. Paksinya bersandar hala tuju SMJ sebagai pemicu dasar pembangunan negeri.
Yang jelas, kepemimpinan Hajiji telah membawa beberapa perubahan penting dalam politik, ekonomi dan pembangunan negeri.

Pendekatan politiknya inklusif, membawa kepada kestabilan politik menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus - berasaskan prinsip akomodatif.

Menerusi GRS-PH Plus telah terbentuk perpaduan politik yang penting untuk kestabilan pentadbiran.

Lebih penting, Hajiji telah berjaya memperkukuhkan hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Ia menjambatani kerjasama dalam isu-isu penting seperti pembangunan infrastruktur, autonomi negeri dan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pembangunan sektor ekonomi dan pelaburan juga bertambah rancak sepanjang empat tahun ini.

Terbukti dengan peningkatan pelaburan asing, terutama dari China. Hajiji telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik.

Pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi rakyat, terutama di kawasan luar bandar turut diperhebatkan bagi memenuhi keperluan.

Terbaru, pengumuman mengenai tambahan kepada 40 rumah SMJ di setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Secara keseluruhan, pembangunan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi Sabah dalam empat tahun ini berfokus kepada pemulihan pasca-pandemik, pengukuhan infrastruktur dan peningkatan daya saing dalam sektor perladangan, pelancongan serta tenaga.

Hajiji mempamerkan gaya kepimpinan pragmatik dan inklusif, dengan tumpuan kepada kestabilan politik, memperjuangkan hak Sabah serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik kepartian dan infrastruktur, kepimpinan beliau telah berjaya memperkenalkan dasar yang memberi impak positif kepada pembangunan Sabah.

Sebagai petarung sejati, Hajiji pantas berlari sehingga berhasil membangunkan negeri. Di sebalik sifat rendah hati, beliau tidak menyerah ketika kesulitan menghadang. Dan tidak pula putus asa ketika halangan menerjang.

Kerana baginya, kesulitan dan halangan menjadi iltizam mencipta kejayaan. Matlamat utama adalah untuk membangun negeri, memakmurkan rakyat.
Syabas untuk empat tahun yang cemerlang!


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 09:24 AM GMT+8 , Processed in 0.085249 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list