TERBAKAR: Keadaan rumah mangsa semas kebakaran.
RANAU: Seorang wanita melecur selepas kediamannya terbakar dalam kejadian di Kampung Langkau, di sini, awal pagi Sabtu.
Mangsa berusia 47 tahun yang melecur di bahagian tangan dan muka dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.21 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar 80 peratus.
"Terdapat seorang mangsa wanita melecur di bahagian tangan dan muka. Pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau menaiki EMRS untuk rawatan lanjut.
"Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air dari jentera dan air terbakar.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.15 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.10 pagi. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
|