Dr Adrian (tujuh kiri) bersama yang lain pada program Hari Rabies Sedunia di Kampung Semeba, hari ini.
KUCHING: Rabies kekal sebagai ancaman kesihatan awam yang ketara di Sarawak, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menurutnya, sejak wabak itu bermula pada 2017, Sarawak telah melaporkan 81 jangkitan rabies manusia yang membawa kepada 74 kematian.
“Pada tahun 2024 sahaja, enam kes baharu telah muncul, menekankan keadaan mendesak kita. Di peringkat global, rabies meragut lebih 59,000 nyawa setiap tahun, kebanyakannya di Asia dan Afrika.
“Statistik ini menjadi peringatan yang jelas bahawa kita mesti mengambil tindakan segera untuk melindungi komuniti dan orang tersayang kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Datu Dr Adrian Susin Ambud pada majlis perasmian Hari Rabies Sedunia yang bertemakan 'Breaking Rabies Boundaries' di Dewan Serbaguna Kampung Semeba di sini, hari ini.
Dr Rundi berkata, salah satu langkah paling berkesan untuk memerangi rabies ialah vaksinasi haiwan peliharaan secara besar-besaran.
Katanya pemvaksinan anjing bukan sahaja langkah perlindungan untuk haiwan peliharaan, tetapi juga langkah penting dalam menjaga kesihatan awam.
“Memandangkan anjing adalah takungan utama virus rabies di negeri kita, memastikan mereka divaksinasi akan mengurangkan risiko penularan kepada manusia dengan ketara,” tegasnya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, JPVS, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melakukan kerja yang hebat menerusi bekerjasama mengekalkan komuniti dan haiwan kesayangan selamat daripada rabies.
Katanya, kesemua agensi berkaitan berdedikasi untuk menjalankan kempen vaksinasi yang komprehensif, justeru kerajaan menggesa setiap pemilik anjing untuk mengambil bahagian secara aktif.
“Tidak kurang pentingnya ialah kesedaran tentang pelesenan anjing. Pelesenan bukan sekadar keperluan undang-undang, ia adalah komponen penting dalam pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.
“Di bawah peraturan tempatan, semua pemilik anjing mesti melesenkan haiwan peliharaan mereka dengan majlis tempatan,” katanya.
Sementara itu, Dr Adrian dalam ucapannya berkata, program yang diadakan adalah salah satu usaha penting dalam memastikan keselamatan kesihatan awam, khususnya dalam usaha menangani dan membasmi ancaman rabies di Sarawak.
“JPVS amat komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk program pemvaksinan anjing dan survelan, manakala penguatkuasaan pelesenaan anjing bertuan akan dilakukan oleh PBT serta kempen kesedaran secara berterusan.
“Namun begitu, usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat, termasuk pemilik haiwan, NGO, agensi-agensi kerajaan,” katanya.
Beliau menambah bagi pemilik haiwan, tanggungjawab mereka amat besar dan pemberian vaksin secara tahunan adalah langkah utama untuk memastikan haiwan peliharaan bebas daripada rabies.
Selain itu katanya, masyarakat juga perlu berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya terkena gigitan haiwan, lebih-lebih lagi jika gigitan tersebut melibatkan anjing liar yang tidak diketahui status kesihatannya.
|