Ling bergambar di balai berlepas Lapangan Terbang Miri.
MIRI: Pengumuman kelulusan pembesaran Lapangan Terbang Miri mendapat sambutan baik kerana ia telah lama ditunggu-tunggu oleh ramai penduduk tempatan di sini.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling mengalu-alukan dan berharap dengan pembesaran itu Lapangan Terbang Miri akan dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa bagi menampung lebih banyak laluan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman sedemikian pada malam semalam semasa majlis Jamuan Negeri sempena lawatan beliau ke sini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana memberi perhatian khusus kepada tuntutan ini, saya tahu beliau sedar keadaan Lapangan Terbang Miri dan menerima permintaan berulang kali daripada wakil rakyat di sini," jelas Ling dalam kenyataannya hari ini.
Ling yang juga Setiausaha Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak berkata Lapangan Terbang Miri berfungsi sebagai pintu masuk penting bagi seluruh bahagian utara Sarawak, terutama di sekitarnya.
Ia juga untuk daerah pedalaman dan sebagai hab transit penumpang Lawas dan Limbang, lebih-lebih lagi ia adalah bandar raya kedua terbesar selepas ibu negeri Kuching.
"Kita mempunyai sejumlah penumpang dari negara jiran Brunei yang terbang dari Miri ke Kuala Lumpur dan selain itu, kesesakan yang dialami di Lapangan Terbang Miri boleh dilihat dan menarik untuk dinaik taraf segera," katanya.
Dengan Taman Negara Mulu dan Gua Niah di Miri disenaraikan sebagai tapak warisan UNESCO, lapangan terbang yang diperluas dan dinaik taraf menjadi keperluan dan faktor utama dalam menarik lebih ramai pelancong untuk datang.
Ling turut memuji usaha berterusan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man kerana mengemukakan keperluan itu di Dewan Rakyat kepada kerajaan persekutuan dan kementerian.
Ling yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, dengan siapnya projek itu kelak membolehkan lapangan terbang itu menampung bukan sahaja pelancong tetapi mengajak lebih ramai atlet luar negara ke Miri untuk menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa di sini.
Dengan status lapangan terbang antarabangsa dan peningkatan kapasiti, kerajaan dan badan sukan boleh menganjurkan lebih banyak kejohanan sukan terutama pertandingan peringkat antarabangsa.
"Dengan lebih banyak penerbangan terus yang menghubungkan Miri ke dunia luar, kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk membangunkan sukan dengan menghantar atlet untuk pendedahan yang lebih besar dengan kos yang jauh lebih rendah," tambahnya.
Ling berharap Anwar akan membuat pengumuman lebih terperinci semasa persidangan bajet akan datang dengan skala pengembangan, reka bentuk dan kos yang diperuntukkan untuk pembesaran lapangan terbang.
Beliau juga berharap bajet mencukupi untuk memenuhi jangkaan tinggi untuk sebuah lapangan terbang moden agar dapat memenuhi permintaan semasa terutama pelaksanaan teknologi canggih.
Ling turut menemani Setiausaha Agung PH Pusat Datuk Seri Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri melawat Program MADANI Rakyat Sarawakku Sayang dan Majlis Jamuan Negeri.
|