MAUT: Penunggang motosikal terbabit terperosok di bawah bas sekolah dipandu suspek.
TAWAU: Pemandu bas sekolah yang terbabit dalam kemalangan maut di Batu 3, Jalan Tawau-Kalabakan, semalam, didapati positif dadah dan tidak mempunyai lesen memandu.
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, penunggang motosikal berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia selepas terperosok di bawah bas sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, bas sekolah berkenaan bergerak dari arah Kampung Kapilit menuju ke Kalabakan.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, bas sekolah yang dipandu suspek berusia 37 berkenaan bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal terperosok di bawah bas dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu bas terlibat berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, Jasmin meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan,” kataya.
|