Pendaki KDJA merakam kenangan di puncak Gunung Kinabalu pada Selasa.
KUNDASANG: Kesemua 10 pendaki dari Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) berjaya mencapai misi menakluk puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu, pada Selasa.
Tahun ini menandakan edisi keempat ia diadakan untuk pengamal media di Kuching, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak pernah mendaki gunung itu sebelum ini.
Program itu bermula pada 2019 sebagai menyahut cabaran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar KDJA menguji kekuatan, stamina dan keazaman ahli medianya.
Wakil Utusan Borneo Rengayan Labang (hadapan), wakil The Borneo Post Roystein Emmor (kanan, belakang) dan wakil Jabatan Penerangan Sarawak Joshua Amir Sibat dari bergambar di puncak Gunung Kinabalu.
Kali ini, para peserta terdiri dari The Borneo Post, Utusan Borneo, DayakDaily, TV Sarawak, CatsFM, New Sarawak Tribune, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Sarawak.
Pasukan KDJA turut diiringi pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Wan Abdul Mubin bagi membantu dalam perjalanan menuju ke puncak.
Kumpulan pendaki KDJA tiba di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad sebelum menuju ke Sutera Sanctuary Lodges di Taman Kinabalu.
Para pendaki merakam kenangan di Timpohon Gate sebelum memulakan pendakian.
Keesokan harinya, mereka memulakan perjalanan dari Timpohon Gate ke tempat mereka menginap iaitu Laban Rata Resthouse, sebelum meneruskan pendakian menuju puncak.
Pasukan itu yang terdiri daripada sembilan anggota media dan seorang wakil dari JBPM Sarawak, kesemuanya berjaya tiba di puncak dengan paling awal tiba pada jam 5.20 pagi.
Dengan ketinggian 4,095m (13,435 kaki di atas paras laut), Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara, di luar banjaran Himalaya dan Papua New Guinea.
Laluan itu sejauh 8.8 kilometer ke puncak di sepanjang bahagian selatan gunung di atas Tenompok.
Pendaki KDJA Kuching merakam kenangan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu.
|