Upacara nyanyian lagu Negaraku dan Lafaz Ikrar Rukun Negara dihadiri Zulkipli serta ketua-ketua bahagian dan pegawai kanan IPD Sibu.
SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini komited memperkukuh semangat patriotisme melalui pelaksanaan amalan mingguan nyanyian lagu Negaraku dan Lafaz Ikrar Rukun Negara.
Menurut kenyataan rasmi di laman Facebook IPD Sibu, amalan itu dilaksanakan berikutan arahan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang menekankan kepentingan lagu Negaraku dan Ikrar Rukun Negara sebagai usaha memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan penjawat awam.
Langkah ini juga bagi memastikan nilai patriotisme, dedikasi dan integriti terus menjadi tunjang dalam perkhidmatan awam terutama dalam usaha memberi perkhidmatan cekap dan berkesan kepada masyarakat.
Sementara itu, pada majlis berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu hari ini upacara tersebut dipimpin oleh ASP Wee Soon Guan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili turut hadir bersama timbalannya Superintenden Boniface Bajai serta ketua-ketua bahagian dan pegawai kanan IPD Sibu bagi menyokong amalan tersebut.
|