CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13069|Reply: 0

[Tempatan] Hukum guna susu ibu dalam produk makanan

[Copy link]
Post time 24-10-2024 09:20 AM | Show all posts |Read mode
Hukum guna susu ibu dalam produk makanan

https://www.kosmo.com.my/2024/10 ... lam-produk-makanan/

Oleh PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKETUAN
24 Oktober 2024, 8:19 am


SUSU ibu merupakan keperluan getir kepada bayi. – Gambar hiasan

Kebelakangan ini, berlaku pelbagai inovasi terhadap susu ibu untuk dijadikan produk-produk seperti perhiasan, kosmetik, sabun serta makanan yang mengandungi komponen susu ibu. Contohnya, sumber kultur probiotik daripada susu ibu untuk dijadikan sebagai salah satu bahan dalam produk makanan. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Jawapan: Susu ibu sememangnya kaya dengan pelbagai khasiat dan nutrien dan sedang dalam usaha untuk dikomersialkan untuk kepelbagaian produk seperti produk daripada sumber probiotik susu ibu.

Persoalannya, adakah syarak membenarkan penggunaan susu ibu diperluaskan dalam produk bagi setiap peringkat umur?
Keperluan susu pada bayi adalah sangat getir ketika mana syarak membenarkan bayi mendapatkan susu daripada wanita lain.

Pensabitan anak susuan berlaku disebabkan terjadinya tumbesaran pada bayi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.” (Riwayat Abu Daud)

Para ulama berselisih pandangan berkenaan hukum susu ibu yang dicampurkan dengan bendasing lain.

Susu ibu yang bercampur dengan bendasing lain akan memberi kesan pada pensabitan anak susuan apabila peratusan kandungan susu melebihi bendasing lain. Jika peratusan kandungan susu kurang daripada bendasing lain, maka ia tidak memberi kesan kepada pensabitan nasab.

Syeikh Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi bahawa air susu yang mendominasi bendasing lain itu mestilah zahir salah satu daripada sifat susu sama ada dari sudut rasa, warna atau bau.

Hal ini kerana, sesuatu yang tidak mendominasi hukumnya adalah seperti tiada. Apabila berlaku percampuran susu ibu dengan bendasing lain, maka perlu dipastikan sampai keseluruhan campuran tersebut ke dalam perut bayi bagi memastikan sabit hukum susuan.

Sebaliknya, jika hanya separuh yang diminum oleh bayi, maka tidak sabit hukum susuan menurut pendapat muktamad disebabkan tidak yakin air susu sampai ke dalam perut bayi.

Manakala, al-Dasuqi menyatakan bahawa tidak semestinya susu ibu itu mesti melebihi bendasing lain jika mahu disabitkan hukum susuan, bahkan jika nisbahnya sama antara kedua-dua bahan, maka hukum susuan juga boleh disabitkan. Akan tetapi, jika sifat susu ibu dari segi rasa itu sudah tiada, maka tidak sabit hukum penyusuan.

Asasnya, fuqaha bersepakat bahawa apa-apa anggota badan manusia bukanlah harta yang boleh dijual beli, maka tidak sah menjual apa-apa juzuk badan manusia. Akan tetapi, ulama berselisih pendapat tentang hukum penjualan susu ibu yang diperah berdasarkan perbahasan berikut :

1. Pendapat yang tidak membenarkan.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang tidak mengharuskan jual beli susu ibu adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan salah satu riwayat fatwa Ahmad.
Mereka yang berpegang dengan pendapat ini berhujah bahawasanya susu ibu tidak dijual menurut kebiasaannya sebagaimana tidak dijual air mata, peluh dan hingus.

2. Pendapat yang membenarkan.
Imam al-Nawawi menyatakan harus menjual susu menurut pendapat fuqaha mazhab Syafi’i. Susu ibu adalah suci dan boleh diambil manfaat dengannya. Bahkan, ia merupakan makanan manusia yang boleh dijual seperti susu kambing dan roti.

Kesimpulannya, penggunaan komponen atau kandungan daripada susu ibu sebagai bahan dalam makanan seperti sumber probiotik, bagi setiap peringkat umur adalah dilarang sebagai langkah berhati-hati terhadap kekeliruan pensabitan nasab bayi.

Hal ini selari dengan maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan). Bahkan, susu ibu tidak boleh diperlakukan seperti harta yang diperdagangkan dan dieksploitasi memandangkan pensyariatan serta kebaikannya hanya untuk bayi.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-11-2024 02:18 PM GMT+8 , Processed in 0.058925 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list