|
Pasangan pelakon yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta, Alif Hadi dan Yasmin Hani kembali bersahabat selepas berpisah beberapa bulan lalu.
Alif dan Hani ketika ditemui berkata, keputusan itu dibuat kerana anak-anak Hani merindukan Alif yang dipanggil dengan panggilan Thor.
"Berkawan. Sebenarnya, saya tak rasa gugup sebab sejak awal kami berpisah dengan baik. Jadi, tiada sebab untuk saya bergaduh dengan dia.
"Namun, ketika saya mula mengenali dia, saya bukan hanya mengenali dia seorang, tetapi juga keluarganya. Jadi, dua ahli keluarganya yang lain tak ada buat salah apa-apa dengan saya.
"Tak ada gunanya untuk saya bermusuh atau memutuskan hubungan dengan mereka yang tak bersalah. Saya rasa lebih baik jika saya teruskan berkawan kerana mereka juga merindui saya, dan saya pun rindu mereka," kata Alif kepada Harian Metro.
Sementara itu, Hani berkata, anak-anaknya kerap bertanya mengenai Alif selepas mereka berpisah dan sering membuat panggilan video bagi melepaskan kerinduan.
"Kami berkawan balik sebab anak pun dah mula bertanya mana Alif sebab kami pun tak adalah kecoh-kecoh. Dengan umum pun kami tak bercerita.
"Kalau dah lama, anak-anak dah tak tanya, okaylah. Tapi, anak-anak masih bertanya mengenai dia dan nak buat panggilan video.
"Saya pun tak pasti bagaimana keadaannya sekarang, tapi boleh dikatakan kami masih berkawan kerana anak saya yang sering menelefon, ingin tahu khabar dan berbual dengan dia," katanya.
Ditanya sama ada hubungan mereka akan kembali bertaut sebagai pasangan kekasih Hani berkata, dia menyerahkan semuanya kepada Allah.
"Jadi, selebihnya, pada masa depan, hanya Allah yang dapat menentukan. Kami tak rancang untuk berpisah dan jika ditakdirkan untuk kembali bersama, siapa tahu?
"Mungkin anak-anak yang akan menjadi penyebabnya. Seperti yang sering dikatakan, walaupun klise, kami hanya berharap dan berdoa untuk yang terbaik," katanya.
Terdahulu, Hani pernah berkahwin dengan bekas suami yang juga bekas pemain dram Black Rose, Sha'arin pada 2015 dan dikurniakan cahaya mata, Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong, 7.
SUMBER : – Harian Metro
|
|