Uggah (enam kiri, hadapan) bersalaman dengan Tan pada penyerahan simbolik kunci di bahagian atas bangunan Kompleks UNIFOR di Kuching, hari ini - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Pihak pengurusan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) komited memastikan kompleks baharunya di Jalan Ong Tiang Swee di sini dijaga dan dipelihara dengan baik.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia terutamanya setelah bangunan itu menerima Permit Menduduki (OP) semalam.
“Kita ada Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha Sarawak UNIFOR Charitable Trust (SUCT) John Kennedy Janang yang akan menubuhkan pasukan untuk memelihara bangunan ini.
“Kita akan berusaha mencari jalan untuk memastikan bangunan ini diselenggara. Itulah objektif kita,” katanya ketika berucap pada penyerahan OP dan bangunan UNIFOR kepada SUCT hari ini.
Uggah yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap UNIFOR turut menzahirkan harapan agar kompleks itu menjadi penanda aras bagi projek-projek lain, selain menasihati pihak terlibat untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di bangunan tersebut.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kontraktor dan perunding kerana memastikan projek itu berjalan dengan baik dan menepati sasaran.
Pada majlis itu, Uggah selaku wakil UNIFOR menerima penyerahan OP dan bangunan daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.
Uggah turut mewakili UNIFOR menerima penyerahan simbolik kunci daripada Pengarah Hong Seng Construction (E.M) Sdn Bhd Dato Tan Jit Kee.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Pengarah UNIFOR Datuk Georgina Apphia Ngau.
|