Lau (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Dzulkefly di Parlimen baru-baru ini.
SIBU: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Parlimen bagi mengemukakan cadangan penubuhan pusat rawatan jantung dan kanser di Sibu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lau menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan pusat rawatan khusus dan mampu milik bagi penyakit jantung dan kanser di wilayah tengah Sarawak.
Menurut beliau, Sibu merupakan lokasi strategik yang dapat memberikan perkhidmatan bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga kepada kawasan sekitarnya seperti Sarikei, Bintangor, Kapit, Julau, Kanowit dan Selangau.
“Pesakit di kawasan ini yang menghidap penyakit jantung dan kanser terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Kuching atau Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
"Ini bukan sahaja membebankan kewangan pesakit tetapi juga meningkatkan risiko kemerosotan kesihatan mereka,” katanya.
Tambah Lau, cadangan ini telah diserahkan kepada bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada tahun lalu namun tiada maklum balas terkini mengenai perkembangan cadangan tersebut.
Justeru, Lau berharap Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan cadangan ini dengan serius bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan jantung dan kanser yang berkualiti serta mudah diakses oleh rakyat Sarawak, khususnya di Sibu.
|