Kedua-dua sesi ceramah tersebut akan dikendalikan Adlil Rajiah, seorang pakar dalam bidang kekeluargaan dan penulis buku keibubapaan.
SIBU: Pustaka Negeri Sarawak, Sibu akan menganjurkan dua sesi ceramah Parenting Hood Talk sempena Program Sarawak Book Fair X Sarawak Authors Festival 2024 (SBF X SAF) pada 9 dan 10 November ini.
Ceramah itu bertujuan membantu ibu bapa memahami serta mengurus cabaran keibubapaan dan isu tingkah laku anak-anak dalam era digital.
Menurut satu kenyataan, sesi pertama bertajuk 'Burnout Dalam Parenting' akan diadakan pada 9 November dari jam 2 petang hingga 5 petang di Bilik Seminar, Tingkat 1, Pustaka Negeri Sarawak, Sibu.
Sesi itu bertujuan untuk membantu ibu bapa memahami dan mengurus tekanan dalam mendidik anak-anak serta mengimbangi kesihatan mental mereka.
Sesi kedua pula bertajuk 'Mengendali Isu Tingkah Laku Anak: Tantrum, Ketagihan Skrin, Tingkah Laku Tidak Hormat, Malas, Menipu, dan Sebagainya', akan diadakan pada 10 November dari jam 2 petang hingga 4 petang di Bilik Serbaguna, Pustaka Negeri Sarawak, Sibu.
Ceramah itu memberi fokus kepada cara menangani pelbagai tingkah laku anak-anak yang sering menjadi cabaran dalam keluarga moden.
Kedua-dua sesi akan disampaikan oleh Adlil Rajiah, seorang pakar dalam bidang kekeluargaan dan penulis buku keibubapaan.
Beliau akan berkongsi teknik dan panduan komprehensif untuk mengatasi masalah seperti tantrum, ketagihan skrin, tingkah laku tidak hormat, dan isu disiplin lain yang kerap dihadapi oleh ibu bapa masa kini.
Para ibu bapa dijemput hadir bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam aspek keibubapaan.
Penyertaan adalah percuma dan pendaftaran boleh dilakukan melalui imbasan kod QR pada poster acara.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Nur Syahida atau Ricky di talian 084-315 200 sambungan 214.
|