Meningkatkan penggunaan daripada enam peratus kepada 30 peratus menjelang 2030: Awang Tengah
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241029/kch-ub291024-mm-at.jpg)
Awang Tengah bersama Hamid merakam kenangan pada Majlis Perasmian PETROS Connect 2024 di Kuching
KUCHING: Sarawak berhasrat meningkatkan penggunaan gas domestik daripada enam peratus kepada 30 peratus menjelang tahun 2030, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Jelas beliau, inisiatif ini akan memastikan bekalan gas jangka panjang untuk keperluan domestik dan menyokong pertumbuhan industri.
Menurutnya, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang melibatkan penubuhan empat hab gas strategik di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri akan berfungsi sebagai pusat pengedaran utama dalam model penghantaran ‘Hub-and-Spoke’.
“Pusat ini akan menghubungkan semua bahagian Sarawak termasuk kawasan pedalaman.
“Justeru, melalui pendekatan sebegini sudah pasti dapat menyediakan akses kepada gas yang boleh dipercayai dan mampu milik kepada semua rakyat Sarawak dan membuka peluang pelaburan industri baharu,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Connect 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dengan peningkatan pengeluaran gas juga Awang Tengah berkata, ia akan menyokong pertumbuhan industri melalui pelaburan asing dan tempatan serta perniagaan yang bergantung pada gas asli.
Malah katanya, gas asli turut akan berfungsi sebagai sumber tenaga peralihan untuk penjanaan elektrik.
“Pada masa sama, industri campuran tenaga yang semakin berkembang dengan peningkatan penjanaan daripada gas dan tenaga diperbaharui, akan mengurangkan intensiti karbon.
“Ini akan menjadikan sektor ekonomi kita lebih berdaya saing di peringkat global dengan kuasa yang mampu milik dan mampan.
“Untuk mencapai matlamat ini bergantung pada penerimaan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS),” katanya.
Sehubungan itu, Awang Tengah berkata, PETROS sebagai pengurus sumber akan menerajui pembangunan tapak penyimpanan karbon di Sarawak, dengan geologi luar pesisir yang dianggarkan mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak tiga trilion meter padu karbon dioksida.
“Dengan pembangunan pelabuhan laut dalam baharu di Kuching, PETROS turut merancang untuk membawa masuk gas asli menerusi kemudahan import gas petroleum cecair (LNG) baharu yang berpotensi membangunkan medan gas luar pesisir.
“Selain itu, PETROS juga berhasrat membangunkan kemudahan CCS di bahagian barat Sarawak. Projek-projek ini akan menjadikan hab Kuching sebagai pemboleh ubah bagi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, PETROS sedang aktif bekerjasama dengan institusi pendidikan tempatan dan pusat pembangunan kemahiran bagi menyediakan latihan dan peluang pekerjaan untuk pelajar dan graduan baharu sebagai antara usaha ke arah merealisasikan matlamat mereka.
Terdahulu Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo berkata, komitmen pihaknya untuk memanfaatkan sumber diperluaskan untuk memperkasakan generasi bakat akan datang melalui inisiatif seperti Duta Belia PETROS dan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar sekolah menengah.
“Program ini bertujuan mendedahkan pelajar dengan kemahiran untuk membentuk masa depan Sarawak dengan menonjolkan kepentingan STEM dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
“Sekali gus dapat menawarkan pandangan tentang peluang kerjaya dalam industri minyak dan gas, mencerminkan dedikasi kami untuk memupuk bakat tempatan dan memastikan pembangunan mampan Sarawak,” katanya.
|