Rampasan barangan yang cuba diseludup ke negara jiran.
KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan seludup minuman keras dan tong gas yang dianggarkan bernilai RM10,080 di Lubok Antu semalam.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata anggota di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1Divisyen) menjalankan rondaan bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) di kawasan Gabungan Malaysia Indonesia (GABMA), Lubok Antu kira-kira jam 3.30 petang.
Menurutnya, mereka telah terserempak sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan.
“Kesemua orang awam tersebut telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota tentera dan meninggalkan semua barang-barang tersebut.
“Barang yang ditinggalkan adalah 118 karton minuman tin jenama CAMEL dan 20 tong gas PETROS,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya hasil pemeriksaan juga, mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
“Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM10,080 dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu Untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” ujarnya.
|