Dr Sim (tiga kiri), Sagah (empat kiri), Peter (dua kanan) dan tetamu kehormat lain merakam kenangan sebelum bermulanya perasmian Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC 2024. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Pusat Sains Sarawak di sini telah mencapai 43.3 peratus siap setakat 25 Oktober 2024, melebihi sasaran yang dijadualkan iaitu 26.9 peratus.
Pengurus Besar Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) Dr Peter Morin Nissom berkata ini menandakan satu kemajuan signifikan, dengan projek berjalan 123 hari lebih awal daripada jadual asal.
“Pusat Sains Sarawak dijangka siap menjelang Disember 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Untuk rekod, Pusat Sains Sarawak yang dibangunkan di atas tapak seluas 10.8 ekar terletak berhampiran bangunan ibu pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) di Jalan Stadium, Petra Jaya, di sini.
Sementara itu menurut Peter, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC), salah satu lagi subsidiari SRDC, telah mencatatkan kemajuan melebihi jadual sebanyak 0.49 peratus setakat 20 Oktober 2024.
Untuk rekod, SIDC yang terletak bersebelahan dengan Pusat Jantung Sarawak di Samarahan direka bentuk untuk menjadi kemudahan canggih, khusus untuk penyelidikan penyakit berjangkit.
“Projek ini berada pada tahap 6.88 peratus siap, sedikit lebih awal daripada kemajuan yang dijadualkan iaitu 5.39 peratus. Ia dijangka siap menjelang akhir 2026,” ujarnya.
Peter juga memaklumkan bahawa dari 2019 hingga 2024, SRDC membiayai sejumlah 79 projek inovatif bernilai RM16.6 juta dan sehingga kini, 58 peratus daripadanya telah siap dengan 42 peratus masih dijalankan.
Jelasnya, ini antara lain telah menghasilkan 28 penerbitan dalam jurnal peringkat 1 dan 2 serta beberapa projek memenangi anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Untuk mendekatkan inovasi kepada impak, geran penyelidikan kami biasanya memerlukan komponen translasi dan kami menggalakkan serta memudahkan perkongsian awam-swasta dengan industri.
“Tahun depan kami akan melancarkan beberapa geran dan program baharu, jadi nantikan,” katanya.
Mengenai Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC 2024, Peter berkata pihaknya teruja mengalu-alukan pakar tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pandangan tentang pembangunan vaksin dan perjalanan daripada penyelidikan kepada pengkomersilan.
SRDC juga katanya, teruja untuk berkongsi rancangan serta cita-cita tinggi Sarawak untuk menjadi kuasa tenaga diperbaharui ASEAN.
Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC 2024 yang disokong oleh Kerajaan Sarawak dan Business Events Sarawak diadakan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 November, dengan memberi tumpuan kepada pemupukan kerjasama dan inovasi dalam komuniti penyelidikan Sarawak.
Menerusi acara ini, para peserta berpeluang melibatkan diri dalam sesi pleno, pembentangan berwawasan dan peluang rangkaian yang menonjolkan pencapaian penyelidikan dibiayai SRDC.
Simposium berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis hari ini.
Ia turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Penasihat di Jabatan Premier Sarawak (Pendidikan) Datuk Amar Michael Manyin Jawong.
|