![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241125/kch-ub251124-hl-poliscopy.jpg)
Bujang (empat kiri, depan) menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Awla (enam kiri depan) sambil disaksikan Mancha (belakang, lima kiri) pada Majlis Makan Malam Amal 'In Memory of the Fallen Heroes' di sebuah hotel di Kuching, malam semalam.
KUCHING: Pengorbanan serta gugurnya ramai anggota keselamatan negara menjadi peringatan penting untuk menjaga nilai keamanan, perpaduan dan perjuangan tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris sewaktu berucap mewakili Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Majlis Makan Malam Amal 'In Memory of The Fallen Heroes' di sebuah hotel terkemuka di sini malam semalam.
"Para wira kita yang telah terkorban menunjukkan kepada kita erti keberanian yang sebenar dan semangat mereka harus terus hidup dalam diri setiap daripada kita. "Keberanian mereka akan terus dikenang dan jasa mereka akan terus dihargai sepanjang masa," katanya.
Awla pada masa yang sama, mengimbau kembali pengorbanan para anggota polis yang telah terkorban di Sarawak sekali gus mencatatkan sejarah yang penuh pengorbanan, terutama dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
"Beberapa peristiwa tragis melibatkan anggota polis yang terkorban dan ini biasanya berlaku semasa menjalankan tugas yang berisiko tinggi, seperti menentang jenayah terancang, aktiviti penyeludupan serta insiden keganasan atau pertempuran dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Salah satu peristiwa yang paling dikenang adalah semasa insiden pergolakan di Sarawak pada tahun 1960-an, apabila Sarawak masih berada dalam tempoh peralihan selepas kemerdekaan Malaysia.
"Semasa era ini, banyak anggota polis telah terkorban akibat serangan oleh gerila komunis yang beroperasi di kawasan luar bandar.
“Polis yang dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH), berperanan penting dalam menangani ancaman ini dan ramai anggota polis kehilangan nyawa dalam pertempuran tersebut," tambahnya.
Selain itu, tragedi yang lebih baru termasuk insiden-insiden pertempuran dengan penyeludup dadah, geng jenayah dan operasi untuk membanteras keganasan yang mungkin melibatkan pengganas.
Walaupun statistik atau nama individu yang terlibat mungkin tidak selalu didedahkan secara umum, setiap pengorbanan mereka mencerminkan komitmen dan dedikasi dalam menjaga keamanan negeri Sarawak, tegasnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keamanan dan ketenteraman negara, sama ada melalui pasukan keselamatan, sukarelawan atau rakyat yang sentiasa menyokong usaha ini.
Awla turut berjanji untuk menyumbang dana kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) bagi tahun 2025 bagi membantu pihaknya menganjurkan malam penghormatan dan mengenang jasa pengorbanan para wira dan pahlawan yang telah gugur dalam menjalankan tugas, mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Sementara itu, Penaung dan Penasihat Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Kuching Bujang Boji Sitam dalam ucapannya berkata, penganjuran majlis adalah untuk mendapatkan dana bagi kebajikan ahli, balu-balu serta anak-anak ahli bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memerlukan bantuan.
Tabung Kebajikan Bekas Polis dilancarkan pada 7 Oktober 2023 oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai di Majlis Makan Malam di sebuah hotel di Bintulu.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa walaupun kami sudah bersara daripada PDRM, namun jiwa patrotik kami tetap kekal bersama PDRM selamanya," katanya.
Menyentuh tema, beliau berkata ia adalah sebuah tema yang sangat memilukan hati kerana sejak tahun 1952 hingga 1990 iaitu sewaktu Era Insurgensi di Sarawak telah memberi satu sejarah hitam bagi PDRM, bermula dengan terkorbannya Allahyarman Koperal Natu oleh pengganas komunis pada 6 Ogos 1952 di Balai Polis Batu 24, Jalan Lama Serian.
"Peristiwa terkorbannya Allayharham Koperal Natu maka bermulalah era komunis di Sarawak.
"Seramai 75 orang anggota PDRM ketika menjalankan tugas mempertahankan tanah air tercinta Sarawak telah terkorban termasuk Allahyarham Superintenden Mohd Jooni Mustapa.
"Anggota yang berjaya membunuh pengganas komunis telah dianugerahkan Pingat Keberanian (PK) seramai lapan orang anggota PDRM Sarawak.
"Salah seorang bekas anggota PDRM yang juga merupakan penerima PK tersebut merupakan Sub-Inspektor Bong Choon Kui," jelas beliau.
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Setiausaha Agung Dato Paduka Anthony Nait Mani, ahli perniagaan Datuk Seri Sulaiman Natu, Dato Mohd Morshidi Mustapa dan ahli-ahli PBPM.
Majlis diserikan dengan persembahan daripada kumpulan legenda Alleycats, Elvis Presley Sarawak Wilfred Vincent Ragam serta kumpulan dari Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA).
|