Edited by Vellfire at 26-11-2024 09:54 PM
Abdul Karim bersama yang lain semasa melawat pameran 'Pristine Seas: Bringing Back The Ocean' di Muzium Budaya Borneo, hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak melancarkan pameran 'Pristine Seas: Bringing Back The Ocean' yang menekankan pentingnya kawasan perlindungan marin (MPA) untuk melindungi dan memulihkan lautan.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek itu bertujuan memulihkan kesihatan lautan dan meningkatkan taraf hidup komuniti pesisir.
Menurutnya, usaha dan kesedaran melindungi khazanah lautan semakin meningkat dalam kalangan komuniti nelayan yang kini lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sampah.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Muzium Budaya Borneo kerana menganjurkan pameran seperti ini dengan kerjasama National Geographic dan rakan-rakan lain.
"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan memelihara warisan marin kita," katanya semasa ditemui pemberita selepas melancarkan pameran itu di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Pameran 'Pristine Seas' yang berlangsung dari 28 Oktober 2024 hingga 13 April 2025 itu menarik 12,578 pengunjung setakat 20 November lalu.
Abdul Karim berharap pameran itu akan memperkukuh sektor pelancongan di Sarawak dan memberi inspirasi untuk pameran berkualiti tinggi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan industri pelancongan sangat positif dengan sasaran empat juta pelawat untuk 2024 telah dicapai pada awal November.
|