PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau Mpox varian clade II pada 25 November lepas, membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
KKM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan ia menjadikan jumlah kes Mpox di Malaysia meningkat kepada dua kes tahun ini, menjadikan keseluruhan 11 kes sejak 26 Julai 2023.
"Kes baharu ini melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terlibat dalam aktiviti berisiko.
"Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 November dan dia telah mendapatkan rawatan pada 23 November,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, lelaki berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta telah menerima rawatan simptomatik.
"Semua kontak rapat sedang dikenal pasti dan dipantau untuk tanda dan gejala Mpox selama 21 hari daripada tarikh terakhir pendedahan,” menurut kenyataan itu.
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.
Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala serta tanda jangkitan Mpox.
Artikel Berkaitan:
Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
Gejala Mpox ialah demam berserta ruam maculopapular rash atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
Sinar Harian
|