LEMAS: Mangsa ditemukan lemas pada jarak 200 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
KOTA BELUD: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh, di sini sejak Ahad ditemukan lemas, tengah malam Selasa. Mangsa berumur 51 tahun itu ditemukan penduduk kampung pada jam 12.56 tengah malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dipecahkan kepada tujuh kumpulan.
Katanya, pasukan operasi terdiri daripada bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan penduduk kampung.
"Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) menggunakan bot.
"Selain itu, pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot dan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan dengan jarak keseluruhan lapan Kilometer," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 12.56 tengah malam dengan jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan pasukan bomba bertindak mengambil mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, kira-kira jam 11 pagi Ahad.
Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah dan kira-kira jam 8 malam Isnin, adik mangsa mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar dan baldi dipercayai milik mangsa.
|