Bayan Lepas: Operasi penyelamatan anak kucing yang terperangkap dalam paip saliran air di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini, semalam menarik perhatian ramai selepas tular di media sosial.
Sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru melakukan tugas khas itu selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.01 petang.
Komander Operasi BBP Bayan Baru, Azman Radzi berkata, pihaknya turut dibantu polis bantuan Syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), selepas mendapati anak kucing itu terperangkap dalam paip di jambatan yang menghala ke arah Batu Maung.
"Kerja penyelamatan dijalankan dengan menurunkan anggota menggunakan kaedah rappelling pada sisi tepi pembahagi jambatan.
"Anggota diturunkan kira-kira 20 meter ke kedudukan anak kucing itu, sebelum paip jenis PVC dipotong untuk membawanya keluar," katanya ketika dihubungi
hari ini.
Menurutnya tiada akses yang selamat dan cepat dalam operasi penyelamatan itu kerana faktor kedudukan dan ketinggian lokasi.
Katanya, dalam tempoh 44 minit, anak kucing terbabit berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi tamat pada 5.01 petang.