|
Aceh: Sempena 20 tahun tragedi tsunami, negara yang dilanda bencana itu akan mengadakan upacara keagamaan dan memperingati 220,000 mangsa yang terkorban di sekitar Lautan Hindi, minggu depan.
Upacara Buddha, Hindu, Kristian dan Islam juga akan diadakan untuk memperingati mangsa di seluruh negara kepulauan Asia Selatan.
Upacara itu akan dijangka diadakan di seluruh Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand, yang menjadi negara-negara paling teruk dilanda bencana dahsyat dalam sejarah moden itu.
Pada 26 Disember 2004, ombak tsunami setinggi 30 meter melanda beberapa kawasan memusnahkan kawasan pantai, memecah belah keluarga serta menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan membunuh pelancong.
Gempa bumi bermagnitud 9.1 di dasar laut menyebabkan keretakan garis terbesar pernah direkodkan, menyebabkan 'ombak gergasi' meluncur ke arah komuniti pantai di sekitar lembangan Lautan Hindi.
Dasar laut terbelah sehingga menolak ombak pada kelajuan dua kali ganda kereta api peluru, melintasi Lautan Hindi dalam beberapa jam tanpa amaran.
Menurut pangkalan data bencana global yang diiktiraf, EM-DAT, 226,408 orang maut akibat tsunami itu.
Di Indonesia, upacara peringatan akan diadakan di Banda Aceh dengan beberapa siri upacara bermula dengan tafakur sebelum 8 pagi waktu tempatan sebagai simbolik memperingati bencana itu yang mengorbankan lebih 160,000 orang.
Hampir 300 orang terbunuh di Somalia, lebih 100 di Maldives, dan puluhan lagi di Malaysia dan Myanmar.
Mangsa terselamat di Aceh, Baharuddin Zainun, 70, berkata, dia kehilangan seluruh keluarga sekelip mata dalam apabila mereka hanyut dalam kejadian itu.
"Anak, isteri, ayah, ibu dan semua adik-beradik saya hanyut.
"Tragedi sama turut dirasai orang lain. Kami merasakan perasaan sama (kehilangan insan tersayang)," katanya.
Pegawai kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai akan melawat kubur besar di Banda Aceh, di mana hampir 50,000 jenazah dikebumikan, sebelum solat berjemaah di masjid besar kota itu.
Di Sri Lanka, di mana lebih 35,000 orang terbunuh, sebuah kereta api ekspres dibadai ombak gergasi 20 tahun lalu, sudah dibina semula dan dijangka bergerak dari ibu kota Colombo ke tempat sama di Peraliya di mana ia terkeluar dari landasan.
Satu upacara keagamaan ringkas akan diadakan bersama saudara-mara mereka yang maut akibat kejadian yang mengorbankan kira-kira 1,000 penumpang serta penduduk yang menaiki kereta api berkenaan selepas ombak pertama menenggelamkan kawasan rendah di situ.
Di Thailand, yang merekodkan angka rasmi lebih 5,000 terbunuh dengan kira-kira separuh daripadanya pelancong asing dan 3,000 hilang, ratusan orang dijangka menghadiri upacara peringatan kerajaan yang ditetapkan pada 26 Disember ini.
Sumber – Harian Metro |
|