Tinjauan tapak pembuangan sampah haram di Kampung Telok Serdang, Perling. FOTO Iskandar Ishak
Johor Bahru: Sebuah lagi tapak pembuangan sampah haram dikesan di Perling, kali ini di Kampung Telok Serdang, hanya kira-kira 150 meter dari Sungai Skudai, di sini.
Ia selepas pendedahan mengenai kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram di tebing Sungai Danga, yang terletak di Kampung Tuah Jaya, hanya 3.3 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.
Tinjauan di Kampung Telok Serdang mendapati tapak pembuangan sampah haram seluas seperti padang bola itu berada di pinggir Sungai Skudai, yang sering dilaporkan tercemar dan dipenuhi sampah sarap.
Kebanyakan sampah dilihat termasuk longgokan beg plastik sampah domestik, botol dan bungkusan makanan selain buangan bahan binaan, yang menimbulkan bau busuk.
Penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Helmi, 38, berkata kewujudan tapak pembuangan sampah haram disedari sejak lima tahun lalu.
Katanya, pada mulanya sampah di tapak pembuangan haram berkenaan dibuang lori kecil yang memasuki kampung itu pada awal pagi.
"Namun kini ratusan penduduk etnik Rohingya yang tinggal di kampung berkenaan turut membuang sampah harian mereka di situ.
"Malah masih ada lagi lori yang masuk buang sampah di situ malah penduduk kampung etnik Rohingya juga menjadikan tapak sampah haram itu makin besar.
"Ia menyebabkan bau busuk dan persekitaran kampung ini tercemar berikutan sikap mereka yang tidak mementingkan kebersihan dan membuang sampah sesuka hati.
"Penduduk tempatan pernah menegur etnik Rohingya malah lori yang masuk supaya sampah tidak dibuang di sini, namun ia menjadi pergaduhan pula," katanya ketika ditemui.
Oktober lalu, media melaporkan penduduk Kampung Tuah Jaya, kecewa susulan kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram berhampiran Sungai Danga yang menyebabkan pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan awam.
Ia menyebabkan beberapa lokasi di kawasan pinggir Sungai Danga dipenuhi longgokan sampah yang menghasilkan bau busuk.
Bulan lalu pula, timbunan sampah tidak berkesudahan dilaporkan terdampar di tebing Sungai Skudai, di sini, bukan sahaja mencemarkan sumber bekalan air negeri malah mengundang pemandangan menjijikkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, beliau sudah melaporkan kewujudan tapak sampah haram di kampung berkenaan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Katanya, ia susulan aduan penduduk menyebabkan SWCorp sudah mengambil tindakan susulan risikan dilakukan agensi berkenaan sebelum ini.
"Namun nampaknya isu ini masih berulang dengan lori haram masih masuk dan buang sampah selain diburukkan dengan tindakan etnik Rohingya yang turut buang sampah di situ.
"Penduduk kampung seharusnya menyekat lori haram ini memasuki kampung mereka selain memberi kesedaran terhadap etnik Rohingya tidak membuang sampah sesuka hati.
"Penduduk kampung wajib faham kerosakan dan pencemaran sungai ini kosnya mahal apatah lagi kerajaan baru sahaja meluluskan peruntukan RM99.8 juta bagi mengatasi pencemaran Sungai Skudai yang teruk tercemar, selain membersihkan kawasan tapak sampah haram di sekitar pinggir sungai," katanya.
|