SHAHRULANUAR(tengah) menunjukkan ganja dirampas di IPD Batu Pahat, hari ini. Gambar ihsan PDRM
Batu Pahat: Polis menahan dua lelaki serta merampas lebih lapan kilogram (kg) ganja dalam serbuan dua stor di Taman Melor, di sini, semalam.
Suspek berusia 39 dan 53 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 11.50 pagi oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata sejumlah 7,460 gram (g) ketulan mampat ganja dan 49 paket lutsinar yang mengandungi ganja seberat 748.32 g dirampas. Katanya, kesemua nilaian rampasan bernilai lebih RM25,000.
"Siasatan awal mendapati, suspek menjadikan sebuah stor untuk menyimpan ganja serta membungkus sebelum diedarkan ke pasaran.
"Sindiket pengedaran ganja ini dikesan memulakan operasi sejak September lalu dengan mensasarkan pelanggan yang dikenalinya," katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata, polis turut menyita lima motosikal serta wang tunai RM1,231.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan juga sitaan dalam serbuan ini adalah RM43,088.
"Kesemua suspek sudah direman bermula hari ini sehingga 28 Disember bagi membantu siasatan.
"Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah manakala seorang lagi negatif.
"Semakan polis juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati," katanya.
|