GAMBAR fail, Whiting bersama Hussey menghadiri 2018 TCM Classic Film Festival di TCL Chinese theatre di Hollywood, California pada 26 April 2018. FOTO AFP
London: Pelakon filem Romeo And Juliet, Leonard Whiting, memberikan penghormatan kepada rakan heroinnya, Olivia Hussey, yang meninggal dunia pada usia 73 tahun, sambil menyatakan bahawa 'kecantikan dalaman dan luaranmu akan dikenang dunia untuk selamanya.
Kedua-dua mereka yang ketika itu masih remaja, meraih populariti selepas membintangi filem adaptasi tragedi Shakespeare pada 1968, yang diarahkan dan ditulis bersama oleh mendiang Franco Zeffirelli, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pelakon kelahiran Britain itu dilaporkan meninggal dunia dengan tenang di rumahnya pada Jumaat, dikelilingi oleh orang tersayang, menurut kenyataan yang dimuat naik di Instagram beliau.
"Olivia adalah individu yang luar biasa, penuh kehangatan, kebijaksanaan dan kebaikan tulen yang telah menyentuh hidup semua yang mengenalinya," menurut kenyataan itu.
Hussey dan Whiting masing-masing memenangi anugerah Golden Globe bagi kategori Pelakon Harapan Terbaik untuk lakonan mereka dalam Romeo And Juliet, dengan filem itu turut memenangi anugerah Filem Bahasa Inggeris Terbaik di acara yang sama.
Filem itu turut dicalonkan untuk Anugerah Oscar bagi Filem Terbaik, sementara Zeffirelli menerima pencalonan Pengarah Terbaik di Oscar dan Bafta.
Tahun lepas, Hussey dan Whiting memfailkan saman terhadap Paramount Pictures atas dakwaan penderaan seksual, gangguan seksual dan penipuan berhubung adegan bogel dalam filem itu yang dirakam ketika mereka masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.
Mereka menuntut ganti rugi lebih US$500 juta, mendakwa bahawa Zeffirelli, yang meninggal dunia pada 2019, pada mulanya memaklumkan bahawa mereka akan mengenakan pakaian dalam berwarna kulit dalam adegan bilik tidur tersebut.
Bagaimanapun, seorang hakim menolak saman itu dengan menyatakan bahawa para pelakon tidak memberikan bukti mencukupi untuk menunjukkan adegan tersebut melanggar undang-undang.
Whiting turut memberi penghormatan kepada "Julietnya yang cantik" dalam komen pada hantaran pengumuman itu, dengan menulis:
"Olivia, kita telah berkongsi begitu banyak sejak kita masih kanak-kanak yang manis dan polos, saling berpaut erat seperti yang ditunjukkan dalam setiap gambar kita.
"Kamu tidak pernah takut untuk berjuang memperbaiki segala ketidakadilan di dunia ini.
"Beristirahatlah kini, Julietku yang cantik; tiada lagi ketidakadilan yang mampu menyakitimu. Dunia akan mengenang kecantikan dalaman dan luaranmu untuk selamanya. Leonard."
Dilahirkan pada 1951 di Buenos Aires, Argentina, Hussey kemudian berpindah ke London dan belajar di Akademi Drama Italia Conti.
Antara peranan pentingnya termasuk watak Mary dalam mini siri Jesus Of Nazareth pada 1977 serta penampilan dalam adaptasi Death On The Nile karya Agatha Christie pada 1978.
Beliau turut membintangi filem seram Black Christmas (1974), Psycho IV: The Beginning, dan It karya Stephen King.
Mendiang meninggalkan suami, David Glen Eisley, yang telah dikahwininya selama 35 tahun serta anak-anaknya, Alex, Max dan India, serta cucunya, Greyson.
|