PENAMPILAN pelakon Sharifah Sakinah menerusi drama Curang Tanpa Niat menerima kritikan netizen apabila wajahnya dikatakan kelihatan tua. Malah ramai beranggapan imej berkenaan tidak sesuai dengan karakter penyondol yang dibawanya dalam drama berkenaan. Tampil menjelaskan perkara itu, Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata dia memegang watak wanita berusia lewat 40-an.
Justeru, solekan yang dikenakan lebih tebal berbanding biasa bagi memenuhi tuntutan watak yang diberikan kepadanya. "Saya pelakon berkarakter. Saya bukan penyondol biasa-biasa macam Sophia Albarakbah itu. "Dalam cerita ini, saya berumur 48 tahun. Sebab itu mereka kena buat muka saya nampak tua. Korang faham tak?
"Dah kalau karakter saya begitu, memanglah solekan saya pun begitu!" katanya menerusi Instagram pada Isnin. Sakinah mengulas perkara itu bagi menjawab komen seorang pengguna Instagram yang mengecam penampilannya dalam drama berkenaan. Sebagai pelakon, Sakinah memberitahu dia bersedia untuk mengubah imej demi memenuhi kehendak skrip.
"Kalau saya jadi Pontianak, saya buatlah gigi saya pula. "Selepas ini umur saya 18 tahun, tengoklah muka saya jadi muda macam mana. Muka saya ini bonus tahu tak?" ujarnya. Menerusi drama bersiri yang ditayangkan sejak 23 Disember lalu, Sakinah memegang watak sebagai Astrid iaitu wanita yang menganggu rumah tangga rakan sekerjanya. Selain Sakinah, drama Curang Tanpa Niat turut dibintangi Shukri Yahaya, Mira Filzah, Fadhlan Hazim dan Zarina Anjoulie.
|