|
LOS ANGELES: Seorang daripada lima individu yang terbunuh dalam kebakaran di sekitar Los Angeles semalam, cuba menyelamatkan kediamannya daripada dijilat api, kata adik perempuan kepada mangsa, Shari Shaw, semalam.
Menurut penyiar tempatan, KTLA, Shari memberitahu, mangsa, Victor Shaw tidak mengendahkan rayuan anggota bomba untuk menyelamatkan diri ketika api mula marak di kawasan Altadenaa.
Lelaki berusia 66 tahun itu yang tinggal bersama adiknya, memberitahu dia mahu kekal berada di situ untuk memadamkan api ketika ahli keluarga yang lain mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah terbabit.
"Ketika saya pulang semula ke rumah dan menjerit menyebut namanya, dia tidak menyahut.
"Saya terpaksa lari menyelamatkan diri kerana api terlalu marak," katanya.
Angin yang kuat menyebabkan api marak dalam jangka masa singkat dengan kebakaran masuk hari kedua di sekitar Los Angeles.
Ia menyebabkan kesukaran dihadapi anggota bomba yang dikerah untuk memadamkan kebakaran.
Untuk rekod, beribu-ribu hektar tanah dijilat api dengan kira-kira 1,500 bangunan musnah.
Selain itu, pihak berkuasa turut melaporkan, sebilangan besar penduduk mengalami kecederaan, terutama orang ramai yang tidak mengendahkan amaran untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
Sumber – Berita Harian |
|