Edited by cyberdad at 13-1-2025 08:22 PM
Rempah tidak hanya berguna untuk menyedapkan masakan. Sebaliknya banyak jenis rempah ratus sangat bermanfaat untuk kesihatan bagi merawat berbagai gejala penyakit. Tahukah anda bahawa bawang putih (garlic), halia (ginger) kunyit (turmeric), kayu manis (cinnamon) dan cengkih (clover) merupakan 5 jenis rempah paling baik untuk merawat dan melegakan sakit sendi dan gout.
Berikut adalah petua untuk merawat gout, sakit sendi atau arthritis menggunakan 5 jenis rempah yang mudah didapati di dapur rumah anda:
1. Bawang Putih
Bawang putih secara tradisinya digunakan sebagai penawar penyakit. Ia tergolong dalam genus allium dan mengandungi sebatian anti-radang yang dikenali sebagai asdiallyl disulphide.
Kajian jangka panjang menunjukkan bahawa wanita yang dietnya kaya dengan sayuran allium, seperti bawang putih mempunyai tahap osteoarthritis yang lebih rendah. Kajian lain telah menunjukkan kesannya mengurangkan keradangan, kesakitan dan keletihan yang berkaitan dengan arthritis rheumatoid seperti sakit sendi dan gout
Cara Penyediaan
Bawang putih boleh dimakan sama ada mentah atau dimasak. Kupas dan parut bawang putih segar di atas sayur-sayuran, sup, salad, pasta atau beberapa keping roti bakar. Untuk kurangkan bau "nafas bawang putih," ambil beberapa titis lemon selepas memakannya atau segera gosok gigi anda. Bawang putih yang dimasak mempunyai rasa pedas yang lebih lembut. Anda juga boleh masukkan bawang putih ke dalam rebusan, pasta, kentang tumbuk, sup dan sayur-sayuran panggang jika tidak suka ia dalam bentuk mentah.
2. Halia
Gingerol adalah sebatian anti-radang utama dalam halia. Ia berfungsi sama dengan perencat COX-2, iaitu ubat yang digunakan untuk merawat sakit sendi dan keradangan. Beberapa kajian telah mengaitkan halia dengan mengurangkan sakit sendi dan ketidakupayaan pada penghidap osteoarthritis.
Cara Penyediaan
Halia mempunyai rasa tajam dan aroma yang tidak dapat disangkal. Ia menaikkan selera mana-mana hidangan apabila ditambah. Walau bagaimanapun ia sikit kurang disenangi kerana teksturnya yang bertali. Cara mudah untuk atasi perkara ini dan memastikan halia anda kekal segar adalah dengan membekukan halia. Ini membolehkan anda memarut halia dengan mudah ke dalam pelbagai hidangan termasuk rebusan, nasi, sos buah-buahan, mufin dan banyak lagi.
3. Kunyit
Kunyit adalah rempah yang biasa digunakan dalam masakan India. Ia mempunyai sejarah panjang digunakan sebagai ubat dalam masyarakat Cina dan India. Kunyit mengandungi sebatian yang dikenali sebagai curcumin. Kompaun ini memberikan warna kuning terang kepada kunyit dan juga dikaitkan dengan mengurangkan keradangan dan meredakan kesakitan osteoarthritis.
Satu kajian mencadangkan suplemen kurkumin hampir sama berkesan dengan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS) dalam mengurangkan kesakitan osteoarthritis. Satu lagi kajian menunjukkan kurkumin memainkan peranan dalam mencegah kerosakan tulang pada penghidap rheumatoid arthritis. Laporan menunjukkan bahawa curcumin harus dipasangkan bersama lada hitam. Sebatian aktif dalam lada, piperine, boleh meningkatkan penyerapan curcumin.
Cara Penyediaan
Campurkan kunyit dan lada hitam ke dalam menu salad kegemaran anda. Ratakan bahan tersebut pada sayur-sayuran panggang atau salad anda. Boleh juga buat sup daging atau ayam dan masukkan kunyit dalam masakan anda.
4. Kayu Manis
Kayu manis mengandungi sebatian kimia yang dikenali sebagai cinnamaldehyde dan asid sinamik. Sebatian ini telah dikaitkan dengan mengurangkan sakit sendi. Penyelidikan telah menunjukkan beberapa hasil yang menjanjikan dengan suplemen kayu manis dalam mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif.
Satu kajian kecil yang melibatkan wanita dengan arthritis rheumatoid menunjukkan pengambilan suplemen serbuk kayu manis mengurangkan tahap keradangan.
Cara Penyediaan
Anda boleh cuba masak hidangan berinspirasikan Maghribi yang lazat dengan menambah kayu manis bersama-sama dengan kismis dan gajus ke dalam menu itu atau cuba wafel yang kaya dengan kayu manis.
5. Cengkih
Minyak cengkih mengandungi eugenol, anestetik semula jadi yang boleh membantu melegakan kesakitan. Ia telah digunakan sebagai analgesik untuk ketidakselesaan sendi sejak abad ke-13 .
Cara Penyediaan
Untuk menggunakan minyak cengkih untuk sakit arthritis, anda boleh mencairkannya dalam minyak pembawa dan sapukan secara topikal ke kawasan yang terjejas: a. Cairkan minyak cengkih dalam minyak pembawa pada nisbah 15 titis minyak cengkih setiap auns minyak pembawa. Anda boleh menggunakan minyak pembawa seperti jojoba, kelapa, atau minyak zaitun.
b. Sapukan campuran tadi di kawasan anggota yang terjejas. Anda juga boleh menggunakannya dalam campuran minyak urut atau balsem.
Selamat mencuba dan moga ia bermanfaat untuk redakan gejala arthrititis gout dan sakit sendi anda.
|