Zahari (tengah) bersama Vincent (kiri) ketika melawat kilang pemprosesan serta Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di MPB hari ini.
KUCHING: Sarawak dipilih sebagai model rujukan oleh Johor untuk membangunkan industri lada hitam, khususnya dalam usaha merancang penanaman lada secara berskala sederhana di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Dato Zahari Sarip berkata, pemilihan Sarawak dibuat kerana model penanaman lada hitam di negeri ini dilaksanakan secara individu dan bukannya oleh syarikat besar.
“Oleh itu, kita (Kerajaan Johor) berpandangan ia sesuai untuk dijadikan contoh bagi melaksanakan program penanaman lada hitam di Johor kerana kita hendak mulakan secara kecil-kecilan.
“Peruntukan RM500,000 untuk pembangunan lada yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan digunakan untuk membangunkan kawasan seluas 10 hektar tanah bagi penanaman lada hitam di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zahari berkata, Johor ketika ini hanya mempunyai 20 hektar kawasan penanaman lada hitam dengan penglibatan kira-kira 100 pekebun dan menghasilkan sekitar 78 tan metrik lada hitam setahun.
Jumlah itu katanya, masih kecil kerana berdasarkan rekod di Semenanjung Malaysia, jumlah lada hitam yang diimport dari luar negara kira-kira 3,000 tan setahun. “Disebabkan itu, ia menjadi satu peluang yang sangat besar untuk Johor usahakan penanaman lada hitam ini.
“Kita harap dengan lawatan hari ini kita dapat melihat sendiri program penanaman lada hitam yang dijalankan di negeri ini,” ujarnya.
Pada masa sama, dapat mempelajari bagaimana pengusaha-pengusaha individu di Sarawak membangunkan industri lada mereka dan mengadaptasikannya di Johor, tambahnya.
Sementara itu Ketua Pengarah MPB Vincent Sawat berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama serta menyokong kerajaan negeri yang ingin membangunkan industri lada di negara ini khususnya Johor.
“Memang kita berhasrat untuk memperluaskan tanaman lada, sokongan kerajaan negeri dari segi pemberian bantuan juga akan menjadi satu motivasi kepada kita. “Ini juga merupakan sebahagian daripada strategi kita dalam membangunkan industri lada di Malaysia.
“(Dan) perbincangan pagi ini akan menjadi input dalam merangka program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” ujar beliau.
Terdahulu, Zahari serta rombongannya turut menghadiri taklimat sebelum melawat ke kilang pemprosesan serta Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di MPB.
Lawatan itu diteruskan dengan melawat ke kebun lada di Kampung Rejoi, Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) termasuk di Kampung Begu, Padawan.
|