Kuala Nerang: "Syukur Alhamdulillah... Keadaan kesihatan saya semakin baik dan saya bersedia untuk menyambung semula pengajian yang tertangguh, Februari depan.
"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu saya dan doakan saya dapat menghabiskan pengajian," kata Wan Fahimah Wan Mohamad Othman, 27.
Harian Metro sebelum ini pernah menyiarkan kisah hidup Wan Fahimah yang
terpaksa menangguh pengajiannya semata-mata untuk melakukan kerja sambilan sebagai tukang cuci di tandas Pantai Merdeka untuk membiayai kos rawatannya yang menghidap kanser payu dara.
Wan Fahimah sebelum ini adalah penuntut tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNiSHAMs) Kuala Ketil itu.
Menurutnya, hasil sumbangan daripada orang ramai digunakan untuk membiayai kos rawatan dan ulang alik dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani memandangkan dia menyewa rumah di situ.
Katanya, selain itu, wang itu juga digunakan untuk membeli sebuah kereta terpakai untuk memudahkan dia berulang alik ke hospital dan pulang ke rumahnya di sini.
"Sebelum ini saya hanya menaiki motosikal ke hospital dengan panas teruk walaupun baru selesai kemoterapi.
"Dengan sumbangan orang ramai itu dapatlah saya gunakan untuk membeli kereta selain membiayai yuran daftar pengajian dua adik saya yang menyambung pengajian ke universiti serta menyara kehidupan keluarga," katanya.
Wan Fahimah berkata, dia turut mendapatkan rawatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam di Pulau Pinang.
Katanya, dia disahkan kanser payu dara pada 2023 namun bersyukur kerana mendapat rawatan awal.
Wan Fahimah mempunyai lapan beradik dan sudah pun habis rawatan kemoterapi serta menjalani rawatan di hospital selama tiga bulan sekali.