Abang Johari tiba mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di BCCK yang diiringi Dr Sim dan Lee (belakang, kiri). - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin mengumumkan Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Miri telah diaktifkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata bilik gerakan pengurusan bencana itu diaktifkan berikutan beberapa siri tanah runtuh yang berlaku bukan sahaja di kawasannya tetapi juga di Piasau.
“Tanah runtuh berlaku berikutan hujan lebat sejak Selasa (28 Januari) yang menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh di Miri, termasuk satu berhampiran kawasan perumahan saya.
“Bilik gerakan pengurusan bencana telah bermula hari ini (Rabu, 29 Januari), dan ia akan beroperasi selama 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Rumah terbuka berkenaan menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai tetamu kehormat.
Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan Timbalan Premier juga menteri bertanggungjawab sambutan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Sementara itu dilaporkan seorang maut manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian yang menjejaskan dua buah rumah di Kampung Lereng Bukit di Miri awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang maut merupakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. Katanya, mayat mangsa telah dijumpai oleh pasukan penyelamat pada jam 6 pagi ini di salah sebuah rumah yang tertimbus.
Mengenai situasi banjir di Miri, Lee berkata meskipun ia tidak teruk namun jawatankuasa kekal dalam keadaan berjaga-jaga. Katanya jawatankuasa itu memfokuskan kawasan berisiko tinggi pada masa ini.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Miri akan turun ke tempat yang berlaku banjir dan tanah runtuh.
“Mereka akan menyelia apa yang boleh mereka lakukan untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh,” tambahnya.
|