Edited by Vellfire at 30-1-2025 12:10 AM
Laluan utama ke Rumah Surat di Sungai Pedalai, Batu Luking, terputus akibat tiga runtuhan berasingan di lokasi berdekatan.
KANOWIT: Dua kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kanowit hari ini, menyebabkan beberapa rumah panjang terjejas dan satu laluan utama terputus.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie, berkata insiden pertama berlaku di Rumah Liam, Jalan Poi, Kanowit, sekitar jam 11.05 pagi.
“Kejadian ini mengakibatkan beberapa rumah mengalami kerosakan teruk, termasuk dapur runtuh, bumbung tercabut serta struktur rumah menjadi condong dan hampir roboh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pasukan bomba yang tiba di lokasi segera mengarahkan penghuni rumah panjang yang terjejas untuk berpindah sementara ke rumah panjang berdekatan sebagai langkah keselamatan.
Tanah runtuh berskala besar berlaku di hadapan Rh Moris.
"Sawar-sawar telah dipasang di sekitar kawasan terjejas, dan penduduk dinasihati agar tidak memasuki rumah mereka kerana risiko tanah runtuh masih berterusan.
“Operasi ini dikawal sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari sebelum tamat pada jam 12.40 tengah hari,” jelasnya ketika dihubungi. Sementara itu, insiden kedua berlaku lebih awal di Rumah Moris, Sungai Pedalai, Batu Luking, sekitar jam 2 pagi.
Andy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.12 pagi dan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.25 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati tanah runtuh berskala besar berlaku di hadapan rumah panjang dengan anggaran keluasan 100x10 kaki persegi. Namun, tiada kerosakan pada struktur rumah.
“Bagaimanapun, laluan utama ke Rumah Surat di Sungai Pedalai, Batu Luking, terputus akibat tiga runtuhan berasingan di lokasi berdekatan,” tambahnya.
Anggota bomba memasang sawar-sawar di kawasan rumah panjang tersebut.
Penduduk sekitar diingatkan agar sentiasa berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya keadaan bertambah buruk. Pasukan bomba telah memasang sawar-sawar di sekitar kawasan runtuhan sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.36 pagi.
Kejadian pertama berlaku sekitar 11 pagi di Rh Liam, Jalan Poi.
|