KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat yang mendapat projek pembekalan dengan jabatan tempatnya bertugas.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada awal 2024 dan meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliannya.
“Suspek juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“SPRM turut menyita dan merampas semua barangan terbabit, bagaimanapun suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil,” katanya.
|